JOM SOLAT

Monday, May 2, 2011

Tarbiyah Musibah

1 Mei 2011- Genap seminggu selepas seorang rakan lagenda dimasukkan ke hospital kerana dilanggar kereta semasa menunggang motosikal. Ditakdirkan Allah ketika tu, lagenda ada berdekatan yang kebetulan sahabat tu dalam perjalanan untuk menumpangkan lagenda. Maka segala yang berlaku, saat dia dirempuh kereta, saat dia tercampak bersama motornya, saat dia jatuh rebah ke tanah…semuanya Allah memperlihatkan pada lagenda. Sejujurnya berat untuk lagenda menyaksikan sendiri rakan dilanggar depan mata, namun percayalah tak ada siapapun yang mampu menggerakkan kereta tu melanggarnya melainkan Allah, Maha Berkuasa hatta satu partikel molekul pun tak berdaya bergerak tanpa izin Allah.




Berita kemalangan tu mula menjadi asbab menggerakkan hati sahabat-sahabat lain menunggu perkembangan berita. Sebahagiannya menghantar ayat-ayat Quran dan hadits sebagai penguat pada lagenda untuk tak mudah menyalahkan Allah. Ada antaranya mengingatkan lagenda ini tak lain hanya satu tarbiyah dari Tuhan, pada hambaNya. Mungkin dalam kelalaian masa sebelumnya melalaikan lagenda dari mengingat Allah. Memang sejak dulu lagi dah diceritakan Allah didalam al-Quran sifat manusia apabila berada dalam kesengangan kita melupakan Tuhan, tetapi apabila tiba musibah dan kesusahan manusia mula tercari-cari Tuhan malah ada yang lantas membangkang takdir Allah. Naudzubillah…



Berkata Abu Tholib al-Makki didalam kitab Qut al-Qulub; “Apabila kamu mengenal sifat-sifat diri kamu dalam bermu’amalah dengan makhluk. Misalnya, jika kamu tidak suka perbuatanmu dibangkang atau dicaci, maka ketahuilah sifat-sifat Penciptamu bahawa Dia juga sedemikian, tidak suka perbuatanNya dibangkang. Maka, hendaklah kamu redha dengan ketentuanNya dan bermuamalah denganNya sebagaimana mualamah yang kamu sukai terhadap dirimu” (Petikan kitab Siapa mengenali dirinya, Maka dia mengenali Tuhannya, m/s 5, karangan Imam Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, terjemahan Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki)



Dalam tempoh itu, lagenda diperingatkan seorang ustaz mungkin itu cara Allah menguji hambaNya terhadap pergantungan kita pada Allah. Apakah kita sabar, redha dan akui ia adalah kerja Allah…ataukah kita mula bersangka buruk terhadap Allah. Ada masanya lagenda rasakan jauhnya diri dari Allah sedang Dia pulak sentiasa dekat dengan kita.




Inilah dunia, sentiasa berputar..adakalanya kita diatas, adakalanya kita dibawah. Maka sekali lagi Allah tetapkan sorang lagi hambaNya yang lalai ni ditimpa musibah. Petang tu lagenda mula bersiap untuk bergerak ke satu majlis ilmu di gombak, hajatnya dengan menumpang seorang ustaz yang juga ke sana. Oleh sebab kepenatan program di sebelah pagi dan kelewatan kerana hujan, lagenda terpaksa menaiki komuter dan LRT sebelum dijemput ustaz. Tapi, sebelum tu lagenda terpaksa menunggang motor ke stesen dalam keadaan hujan…cuma tu pilihan yang ada dalam masa yang singkat.



Secara terpaksa, kali ni lagenda bawa motor lebih laju dari yang kebiasaan, atas alasan mengejar masa…biasalah manusia penuh dengan alasan. Memandangkan kelajuan extra, ditambah pulak dengan permukaan jalan yang licin…maka brek motor tak berfungsi macam yang diharapkan. Ditakdirkan Allah motor lagenda membuat side slide sebelum jatuh terseret atas jalanraya…memecahkan cermin topi keledar dan mengoyakkan seluar lagenda dibahagian lutut. Ditakdirkan Allah jugak kaki kanan lagenda tersepit dibawah motor lagenda sendiri.



Namun, tak satu pun daripada berbelas-belas kereta di situ yang berhenti untuk bagi pertolongan. Itulah hakikat, satu realiti yang lagenda kena terima dalam masyarakat kita. Memandangkan tak ada siapa yang berminat untuk membantu, mungkin belum menerima hidayah…lagenda terpaksa mengalihkan sendiri motor dari kaki kanan lagenda. Dengan lutut, siku dan tapak tangan yang berdarah, lagenda cuba bangunkan sendiri motor tersebut dan hidupkannya semula. Berdiri atas kaki sendiri, alhamdulillah lagenda tak diizinkan Allah cedera parah…cuma luka-luka luaran ,lebam dan kecederaan bahu.




Secara rasminya, tak kesampaian hajat lagenda ke majlis ilmu…mungkin ada yang nak ditunjukkan Allah. Mungkin juga kerana niat lagenda ke sana bukan 100% ikhlas kerana Allah. Maka itu tarbiyah dan hukuman Allah pada lagenda. Mungkin juga Allah nak tunjukkan maut tu makin hampir, takkan cepat sesaat mahupun lambat sesaat (10:49). Mungkin lagenda sendiri yang banyak lalai dari ingat Allah, mungkin lagenda lebih banyak berbual kosong dari berzikir namaNya, mungkin lagenda lebih banyak makan membiarkan rohani kelaparan, mungkin lagenda lebih banyak berhibur berseronok dari bersedih mengingatkan mati, mungkin lagenda lebih banyak memandang kemaksiatan dari memandang ayat-ayat al-Quran, mungkin lagenda lebih banyak membazir masa dari memanfaatkannya kejalan Allah…maka secara jelasnya, ia bukan kemungkinan. Ia penyakit hati yang menghijabkan lagenda pada Allah. Ampuni kami ya Allah…



“Dan sungguh akan Kami mengujimu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun", Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”

[Surah al-Baqarah,2: 155-157]


No comments: