JOM SOLAT

Tuesday, April 19, 2011

Kenali Sahabat: Abu Ubaidah bin al-Jarrah

Bagi setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini
adalah Abu Ubaidah bin al-Jarrah
 -Muhammad Rasulullah

Seorang lelaki yang peramah, sangat bertawadhu’, sangat pemalu, tetapi jika suatu masalah datang menerpanya dan perkara genting menghalangnya, maka dia akan berubah laksana singa yang mengaum menampakkan taring dan kuku-kukunya. Dia menyerupai hujung pedang yang kilatan dan sambarannya, mirip ketajaman dan kekuatannya.



Dia adalah orang kepercayaan umat Muhammad, nama sebenar beliau adalah Amir bin Abdullah al-Jarrah al-Fihri al-Quraisy.



Abu Ubaidah termasuk dalam kalangan assabiqunal awwalun, memeluk Islam sehari selepas Abu Bakr as-Siddiq, keislamannya di tangan as-Siddiq. Abu Bakr membawanya, membawa Abdurrahman bin Auf, Uthman bin Mazh’un dan al-Arqam bin Abu al-Arqam kepada baginda Rasulullah. Maka mereka mengikrarkan kalimah kebenaran dihadapan baginda.



Abu Ubaidah hidup di Makkah dengan ujian berat yang menimpa dirinya bersama kaum muslimin dari awal hingga akhir, sementara dia tetap berdiri tegak dan tegar dalam menghadapinya. Semata-mata membela Allah dan RasulNya dalam setiap kesempatan.



Namun ujian Abu Ubaidah di perang Badar adalah ujian paling berat yang tidak pernah terdetik dalam benak sesiapapun.



TEBASAN PEDANG ABU UBAIDAH



Dalam perang Badar, Abu Ubaidah melangkah maju menembus barisan musuh tanpa ada rasa gentar menghampiri kematian, kaum musyrikin gentar menghadapinya, Abu Ubaidah bergerak ke kiri ke kanan penuh keyakinan, satu persatu tersingkir menyungkur apabila berhadapan dengannya.



Tetapi seorang lelaki Quraisy yang sentiasa berusaha menghalang langkah Abu Ubaidah dari setiap arah, yang kerananya Abu Ubaidah menjauhinya agar tidak berhadapan dengannya.



Namun, lelaki ini terus menerus menyerang sementara Abu Ubaidah terus menjauhinya. Akhirnya, lelaki itu tidak lagi memberi peluang bagi Abu Ubaidah menjauhinya, berdiri di hadapannya menghalangi Abu Ubaidah mara melawan musuh-musuh Allah.



Abu Ubaidah hilang kesabaran, akhirnya beliau menebas pedangnya kearah kepala lelaki tersebut, pedang itu membelahnya menjadi dua bahagian, lelaki itupun tersungkur dan tidak pernah bangun lagi, buat selama-lamanya.



Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa lelaki yang tersungkur dan tidak pernah bangun lagi oleh tebasan pedangnya itu adalah Abdullah bin al-Jarrah, bapa kandungnya sendiri.




Sesungguhnya Abu Ubaidah tidak menamatkan riwayat bapanya, akan tetapi dia membunuh syirik yang bersemayam pada jasad bapanya itu.



(Allah Taala menurunkan ayat al-Quran terkait kisahnya pada ayat 22 surah al-Mujadalah)



ORANG KEPERCAYAAN BAGINDA



Muhammad bin Ja’afar menyampaikan bahwa delegasi orang Nasrani datang pada Rasulullah, dia berkata “Wahai Abu Qasim, utuslah seorang lelaki dari sahabatmu yang kamu redhai untuk kami agar dia memutuskan perkara antara kami dan perkara yang kami perselisihkan, kalian wahai kaum muslimin bagi kami adalah orang-orang yang dipercayai”.



Nabi Sallallahu alaihi wasallam menjawab: “Datanglah kepadaku di siang hari, akan aku mengutuskan seorang lelaki yang kuat lagi amanah pada kalian”.



Umar al-Khattab berkata: “Hari itu aku berangkat ke masjid lebih awal, aku berharap agar mendapat tugas daripada Rasul Allah menjadi orang dengan ciri yang dinyatakan baginda”.



Selesai baginda mengerjakan solat Zohor, baginda melihat ke kanan dan kiri, manakala aku berusaha mengangkat tubuhku agar baginda melihatku. Baginda terus melihat ke kiri ke kanan sehingga baginda melihat Abu Ubaidah al-Jarrah, maka baginda memanggilnya dan bersabda: “Pergilah bersama mereka, jadilah hakim diantara mereka dengan berpijak kepada kebenaran dalam perkara yang mereka perselisihkan”.



Umar al-Khattab berkata: “Ternyata Abu Ubaidah mendapatnya”.



Abu Ubaidah bukan hanya orang yang dipercayai semata-mata, akan tetapi beliau mampu menggabungkan kekuatan disamping amanah, terlihat dibanyak kesempatan.



PEMUDA TAMPAN DENGAN GIGI YANG TANGGAL



Dalam perang Uhud, saat kaum muslimin terpukul mundur, penyeru kaum musyrikin berteriak: “Tunjukkan pada aku Muhammad, tunjukkan pada aku Muhammad”. Pada saat itu, Abu Ubaidah salah seorang yang berdiri di sekeliling Rasulullah untuk melindungi baginda dengan dada-dada mereka dari serangan tombak-tombak musyrikin.



Perang pun selesai, gigi seri Rasulullah patah dan kening baginda terluka. Dua lingkaran besi patahan baju perang baginda tertancap di pipi baginda, maka as-Siddiq Abu Bakr mendekati Rasulullah berniat mencabutnya dari pipi baginda yang mulia. Akan tetapi Abu Ubaidah berkata: “Aku bersumpah dengan nama Allah atasmu, berikan tugas itu padaku”. Maka as-Siddiq membiarkan untuknya. Abu Ubaidah khuatir andai dia mencabutnya dengan tangan akan menyakiti Rasulullah, maka Abu Ubaidah menggigitnya dengan gigi depannya dengan sangat kuat dan berhasil mencabutnya, namun gigi depan Abu Ubaidah ikut tercabut kerananya.



Lalu Abu Ubaidah menggigit besi kedua dengan gigi depannya yang lain, dia mencabutnya dan gigi depannya itupun ikut tanggal sekali kerananya.



Kata Abu Bakr as-Siddiq: “Abu Ubaidah termasuk orang paling tampan dengan dua gigi depan yang tertanggal”.



WASIAT TERAKHIRNYA



Ketika Abu Ubaidah berada di Syam memimpin pasukan kaum muslimin, membawa satu kemenangan kepada kemenangan berikutnya sehingga Allah Taala membuka seluruh wilayah Syam melalui tangannya.



Dalam keadaan perang sedang berkecamuk, tiba-tiba Syam diserang penyakit taun dan memamah satu persatu nyawa penduduknya ketika itu. Amirul Mukminin Umar al-Khattab pula sangat khuatir keselamatan dan kesihatan Abu Ubaidah segera mengirim surat memerintahkan Abu Ubaidah segera berangkat pulang ke Madinah al-Munawwarah.



Manakala Abu Ubaidah yang menerima surat itu menulis: “…aku tidak ingin berpisah dari mereka (pasukan muslimin) sehingga Allah menetapkan keputusanNya pada diriku dan pada diri mereka. Jika surat ini telah sampai ke tanganmu maka bebaskanlah aku dari permintaanmu dan izinkan aku untuk tetap tinggal di tengah pasukanku”.



Begitu jawapannya, Umar al-Khattab menangis hingga airmata melewati janggutnya. Orang sekitarnya yang melihat beliau menangis teresak-esak berkata: “Wahai Amirul Mukminin, apakah Abu Ubaidah telah wafat?”.



Umar menjawab: “Belum, namun dia sudah dekat kepadanya”.




Dugaan al-Faruq Umar tidak salah kerana tidak lama setelah itu Abu Ubaidah diserang taun. Manakala Abu Ubaidah melihatkan tanda-tanda kematian pada dirinya, beliau berwasiat pada bala tenteranya: “Aku berwasiat pada kalian, jika kalian menerimanya nescaya kalian sentiasa diatas kebaikan. Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, berpuasalah di bulan Ramadhan, bersadaqahlah, laksanakan ibadah haji dan umrah dan hendaknya kalian saling memberi nasihat, bersikap jujur kepada pemimpin kalian dan jangan menipu mereka. Janganlah kalian terlalai oleh dunia, sekalipun seseorang berumur seribu tahun dia akan tetap menemui apa yang aku temui saat ini. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian atas anak-anak Adam, mereka pasti mati dan orang yang paling cerdik dari masalah ini adalah orang yang paling taat pada Allah dan paling giat beramal untuk hari kebangkitan. Wassalamu alaikum warahmatullah”.

Tuesday, April 12, 2011

Belajar Daripada Alam

10 April 2011- sehari selepas maulid dan haul di putrajaya, lagenda bergerak pula ke gombak untuk rehlah, bersama sahabat-sahabat ketika persekolahan. Cuma lebih 30 yang hadir, berbanding sepatutnya hampir 50 orang…dan tentunya berbeza dengan bilangan kami yang ke majlis maulid sehari sebelum tu. Bagaimanapun, lagenda tetap bersyukur, kerana bilangan kami yang hadir semakin bertambah setiap kali majlis maulid diadakan. Alhamdulillah…



Selepas lama tak bermandi-manda di sungai, alhamdulillah kali ini Allah izinkan lagenda ke sana. Namun, kali ini bukan hanya bermandi-manda…kami mengembara ke dalam hutan melawan arus aliran sungai. Teringat lagenda, sebelum lagenda bertolak ke Sabah beberapa bulan lalu, seorang ustaz menasihati lagenda dalam mesejnya; belajarlah daripada alam. Lihatlah aliran sungai, semuanya mengalir hanya satu arah…bukankah itu sunnatullah? Lebih menarik lagi, hakikatnya air itu semua menuju Allah. Mana mungkin ada sungai yang ingkar sunnatullah mengalir keatas bukit. Semuanya kuasa Allah, hatta satu molekul hydrogen pun takkan mampu bergerak andai tanpa izin Allah.



Sepanjang berjam perjalanan didalam hutan tersebut, apa yang lagenda lihat kecantikan alam flora, tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang mendiaminya. Pernah 2 tahun yang lalu, seorang sahabat berkata pada lagenda; “tengok daun-daun pokok tu, semuanya tengah zikir puji-puji Allah setiap masa. Kita??”. Allahuakbar…terus terpanah tepat. Lalainya kita, sedangkan kitalah makhluk sebaik-baik ciptaan. Tapi kita menghina diri kita sendiri dengan melupakan Allah…mungkin daun-daun pokok itu jauh lebih mulia daripada kita. Astaghfirullah…



Setelah beberapa kali terjatuh ketika perjalanan, kami hampir tiba di destinasi kami, kawasan air terjun. Tiba-tiba perjalanan kami sedikit terhalang oleh sekumpulan pelajar sekolah yang melalui kawasan itu. Pelajar lelaki didepan, perempuan di belakang…terselit antara itu beberapa orang fasilitator mereka. Kami pula diarah memberi laluan dan keutamaan pada mereka. Terpaksalah kami duduk bertenggek diatas batuan besar hanya memerhatikan mereka. Rupa-rupanya wayang percuma…mana tidaknya, dalam keadaan basah kuyup pelajar perempuan berpakaian pula baju nipis, menampakkan ‘isi kandungan’ anatomi badan manusia. Sepatutnya melalui program mereka itulah dididik menjaga kehormatan, dan memerhatikan ciptaan Allah sepanjang berada didalam hutan.



Dalam ketika itulah, secara tak sedar seekor pacat mengambil kesempatan persis syaitan mengambil kesempatan pada hamba Allah yang lalai. Sempat pula pacat tersebut menggigit betis lagenda, mungkin juga dah ditetapkan Allah darah lagenda adalah rezekinya. Maka lagenda hanya mampu memerhatikan makhluk tersebut menikmati sarapannya. Itulah tarbiyyah Allah, mungkin kerana lagenda menonton ‘wayang’ tersebut. Setelah sebeberapa lama, mereka mula beredar meninggalkan air terjun tersebut untuk kami pula mengambilalihnya.


Air yang sejuk dan jernih menarik perhatian lagenda. Kami bermandi-manda layaknya seorang banduan terlepas penjara. Kemudian, kami mula berkumpul di bahagian tengah dan membentuk sebuah bulatan besar. Hutan tersebut yang sunyi, melainkan hanya unggas yang sesekali berbunyi tiba-tiba digegarkan dengan laungan takbir dan doa wahdah kami. Turut menarik perhatian kumpulan pelajar yang berada tidak jauh dari situ memerhatikan kesatuan kami bersilang tangan antara satu dengan yang lain dan membentuk bulatan besar disertai laungan takbir dengan bersemangat. Harapnya ukhwah kami terus teguh kerana Allah dan besar harapan untuk melihat umat Islam bersatu secara total dan global satu hari nanti.


“Kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal”
(Surah ali-Imran, ayat 189-190)

Tuesday, April 5, 2011

Jemputan ke Haul Syeikh Qadir Jailani

Popularkah kita?



Industri hiburan hari ni menyaksikan Shaheizy Sam dijulang sebagai penerima bintang popular. Serentak itu juga berita kematian seorang pelajar sekolah agama akibat dibelasah gurunya. Seperti biasa, berita kematian ini tak sepopular artis paling popular sepertimana Mari Bertaranum tak sepopular akademi fantaSIA-SIA. Samalah nasibnya majlis-majlis ilmu disurau, tak mencapai 5 peratus pun dari bilangan penonton distadium bolasepak. Moga Allah letakkan kita dalam kalangan kurang 5 peratus tu, insyallah.


Arena of stars, genting highland hangat hangit dengan jeritan dan sorakan ribuan penonton. Majoriti penontonnya masih dijuarai umat Islam, tak kurang juga yang bertudung tetapi berteriak seolah-olah dunia ni tiada penamatnya. Khabarnya majlis tu mendapat tajaan utama celcom axiata. Mungkin itu cara syarikat gergasi tersebut meng’infakkan’ keuntungan syarikatnya. Kita pula ternanti-nanti majlis Maulidur Rasul serta haul-haul para ulama’ ditaja mereka satu hari nanti…adakah mungkin?


Entah apa perasaan penonton yang berada dalam dewan tersebut, lalai dengan nyanyian dan publisiti artis-artis popular tu. Jika kita singkap semula sejarah, Imam Hasan al-Basri seorang ulama’ tafsir menangis hingga berjujuran airmatanya hanya kerana terlupa mengingati Allah selama beberapa detik. Kita?sampai kering airmata pun belum tentu dapat habis menangisi seluruh detik hidup kita yang lalai mengingati Allah…ampuni kami ya Allah.


Itupun belum lagi melihat pada pemakaian para artis, dengan pakaian yang tak cukup kain. Tetapi kita tak diajar buruk sangka (su’uzhon), harapnya dengan duit beribu yang dimenangi tu digunakan membeli kain untuk tambah pada pakaian mereka. Sekali lagi kita menjadi saksi mereka adalah beragama Islam, maka…masih belum gugur kewajipan kita mengajak mereka kepada kebaikan. Hal pemakaian dan fesyen ni bukan hanya terhenti di situ, kadangkala menjadi favourite bukan saja golongan muda, malah golongan yang dah reput tulang sekalipun tak rela tertinggal dalam dunia fesyen. Mungkinkah pakaian itu jugak akan berada pada tubuhnya saat tak bernyawa lagi?


Anugerah yang dikejar juga tak kurang hebatnya, artis lelaki popular, pelakon wanita popular, pengacara tv lelaki popular, penyampai radio wanita popular…semuanya nak popular. Persoalannya popular dimata siapa? Bila pulak kita nak jadi popular dalam kalangan penghuni langit? Lihatlah saat kewafatan Sa’ad ibn Muadz ra. Pada saat kewafatannya, bergegar ‘arasy Allah. Lalu malaikat Jibril turun bertemu Rasulullah SAW dan bertanya, “Siapakah hamba soleh yang mana ‘arasy Allah bergegar kerana kematiannya?”. kerana ‘arasy Allah begitu gembira dengan ketibaan ruh Sa’ad ibn Mu’adz.


Firman Allah, surah al-Hujuraat ayat 13: “Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah daripada kalian adalah orang yang bertaqwa”.

Saturday, April 2, 2011

Kisah Benar Bob Lokman

ALHAMDULILLAH Setelah aku melalui segala jalan syahwat, ALLAH memberikan aku gambaran AKHIRAT. Maka aku mula berjalan mencari kebenaran dan semalam 16 Rabi'ul awal, aku melangkah masuk kedalam gerbang hijau yg bertonggakkan Ulama' yg sangat ditakuti oleh pencinta dunia.






Mengalir airmata bila borang ahli disambut oleh DS Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah. Biar pun aku bukan sesiapa dikalangan orang PAS, tapi aku dapat merasakan kehangatan persaudaraan yg dihulurkan oleh mereka.

Aku menjadi insaf dikalangan anak2 muda PAS yg rugged tapi ikhlas dalam perjuangan dan aku merasa amat malu diperhatikan oleh mereka bilamana aku merasa seperti seluruh hidup aku sebelum ini diselubungi syahwat keduniaan hingga aku merasa aku teramat tua dikalangan mereka. Terlintas juga dibenak ku, mungkin kerana anak2 muda inilah orang bijak pandai seperti Mahathir menolak PAS.



Biarlah tua, biarlah bertongkat, tapi sekarang aku tahu ALLAH maha pengampun dan penyayang. Maka oleh kerana itu aku akan patuh kepada kehendak ALLAH dalam ayat 104 Surah Aali-Imran. PAS akan aku jadikan wadah perjuangan utk mempopularkan ALLAH kepada mereka yg belum kenal akan kekuasaanNYA. Aku jadi insaf betapa aku yg lahir dalam keluarga Islam keturunan Ulama', terabai dengan kefahaman Islam yg pernah diterapkan kedalam jiwaku. Apatah lagi mereka yg tidak pernah tahu mengenai Islam, bagaimana mereka akan merasa takut pada ALLAH. Utk itu sekali ini aku akan terus bercerita kepada sesiapa sahaja sesuatu yg membuatkan mereka bertaqwa kepada ALLAH.



Lagikan setiap ibu bapa sayangkan anak2 yg dilahirkan, inikan pula ALLAH yg menciptakan kita dan segalanya. Biar pun Iblis dan yahudi memang dilaknat oleh ALLAH, namun satu masa dahulu mereka adalah hamba ALLAH yg baik. selepas itu dengan takdir ALLAH mereka dijadikan sebagai contoh buruk kepada sesiapa yg tidak bertaqwa kepada ALLAH. Ini Kuasa ALLAH. kalau tiada keburukan kita tidak pandai menilai kebaikan sebagai mana kalau tiada ketaqwaan maka tiadalah kita mengerti bahawa ALLAH itu maha diatas segalanya.



Hari ini bila jiwa berada didalam PAS, ada satu semangat baru yg membuatkan aku berfikir mengapa ALLAH menjadikan aku. Pagi tadi bila ada member2 yg bertanya, mengapa aku menganut PAS, aku tahu bahawa aku sudah diterima utk bekerja oleh ALLAH. Inilah masanya untuk berubah dan mengubah sebahagian besar kenalan, kepada jalan baru bagi mereka yg fasiq.



Belum ramai yg menerima Islam sebenar. Kalau tidak sudah tentu Malaysia diperintah oleh Ulama'. Masalahnya siapa yg Islam dalam orang Melayu? Utk mereka yang mencari jawapan bacalah Sirah Rasulullah berulang kali, maka kita akan nampak siapa Abu Bakar, siapa Abu Jahal dan siapa Abdullah bin Ubai dalam bangsa Melayu. Kerana itulah aku memohon utk masuk PAS. Lepas ni kita akan baca ada yg marah dgn apa yg aku kata. Itu biasa, sebagaimana ada orang yg marahkan harimau membunuh lembu.



Ini kerana kita tidak mengerti SUNNATULLAH. Kalau kita susah di dunia, kita lupa bahawa itu kehendak ALLAH, apatah lagi bila kita mewah.



Sudah berkali-kali PAS kalah dalam pilihanraya. Memang susah nak menang kerana ini bukan perang Badar dimana Malaikat juga turun berperang dengan perintah ALLAH. Janganlah mengharapkan Malaikat turun beratur dipusat2 mengundi yg diadakan oleh suruhan jaya pilihan raya yg tidak mengikut suruhan ALLAH. Ini demokrasi omputeh yang memberikan peluang kemenangan kepada org yg mempunyai syahwat duniawi.



Kerana itu perlunya kita memperkenalkan Islam adalah sistem terbaik utk mentadbir dunia kepada manusia Malaysia. Ini adalah kerana ramai manusia lupa bahawa ALLAH yg mencipta dunia dan hanya hukum ALLAH sahaja yg sesuai dilaksanakan. Mereka yg menolak selalunya mereka yg tidak tahu apa hukum ALLAH.



Selalunya mereka ditakutkan oleh yahudi yg memang mengetahui apa isi Al Quran dan mereka telah tahu lebih awal melalui Taurat bahawa Islam itu perfect dan mereka tidak mahu kita menjadi ummat Muhammad. Maka kita akan luput dari mendapatkan Syafaat Rasul dipadang Mahsyar nanti.



Dan kali ini aku bersedia utk berjuang dengan PAS, dan aku bersedia untuk kalah setelah menjalankan segala syarat2 perjuangan.



YA ALLAH, BERIKAN KEMENANGAN KEPADA PAS, SEKIRANYA MEREKA LAYAK UNTUK MENERIMA HADIAH KEMENANGAN DARI MU, DEMI ISLAM BERKEMBANG SUBUR DI BUMI MALAYSIA YG DULU TERIKAT DGN PERIKATAN DAN KINI KAKU DALAM BARISAN.



http://boblokman.blogspot.com/

Friday, April 1, 2011

Peringatan Buat Para Pejuang

Berkata As-syahid Al-Imam Hassan Al-Banna:




1. Sesungguhnya ramai yang mampu berkata-kata dan sedikit dari mereka yang bertahan dalam beramal dan bekerja. Ramai pula dari yang sedikit itu yang mampu bertahan di waktu beramal dan sedikit dari mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan berat. Para Mujahidin itu adalah angkatan terpilih yang sedikit bilangannya tetapi menjadi penolong dan menjadi Ansarullah. Adakalanya mereka tersilap tetapi akhirnya menepati tujuan sekiranya mereka diberi Inayah dan Hidayah oleh Allah.



"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk" (Al-Qashash:56)



"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam" (Al-Ankabut:6)



2. Sesungguhnya ujian-ujian Allah adalah PROSES PENAPISAN, untuk menapis orang yang benar dan yang bohong; orang yang beriman dan Munafik; orang yang sabar dan gopoh.

"..dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir" (Ali-'Imran:141)



"Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk(munafik) dengan yang baik (mu'min). Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih siapa yang dikehendakiNya di antara rasul-rasulNya. Kerana itu berimanlah kepada Allah dan rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka bagimu pahala yang besar" (Ali-'Imran:179)



"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antar kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu" (Muhammad:31)



"Musa berkata kepada kaumnya:'Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakanNya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa" (Al-A'Raaf:128)





3. Sesungguhnya da'wah berdiri di atas keazaman, bukan di atas kemudahan.

"Allah berfirman:'Jangan takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mu'jizat-mu'jizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan)," (Asy-Syu'araa':15)



4. Orang yang beriman apabila diganggu Syaitan, mereka cepat sedar dan kembali kepada Allah.



"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. Dan teman-teman mereka(orang-orang kafir dan fasik) membantu syaitan-syaitan dalam menyesatkan dan mereka tidak henti-hentinya(menyesatkan)" (Al-A'raaf:201-202)

Muqaddimah

Dengan nama Allah, ar-Rahman dan ar-Rahim…


Dengan izinNya blog ini dapat lagenda bukak semula lepas lama ditinggalkan. Selama itu juga lagenda cuba tercari-cari penyelesaian masalah dalam diri sendiri. Sukar untuk lagenda istiqamah, mungkin itu permasalahan besar yang melanda diri. Hakikatnya, itulah sebenar tarbiyah Allah untuk mengajar kita…bahkan baginda Rasulullah sendiri pernah menyebut amalan yang dicintai Allah bukan yang banyak kuantitinya, sebaliknya amalan yang istiqamah.



Alhamdulillah, dengan penjenamaan semula blog ni, dengan izin Allah lagenda akan cuba menulis artikel sendiri tanpa bergantung sepenuhnya pada copy-paste penulisan sumber lain. Blog ni jugak sebagai memberi peluang untuk berkongsi pendapat dan bersuara dengan bebas. Lagenda akui bukan mudah orang lain menerima pendapat kita, bahkan pengalaman lagenda sendiri cukup mengajar perlunya kita berdiri teguh. Teringat lagenda kata-kata seorang guru; berani harimau kerana belang, teguh pokok kerana akar, tegak manusia kerana hujah. Apabila kita menyingkap sejarah, lihatlah betapa teguhnya Abi Dzar al-Ghifary dengan kata-katanya, “Jikalau kamu letakkan pedang yang terhunus dileherku sewaktu aku menyampaikan perintah Allah dan RasulNya, aku akan terus berbicara sekalipun pedangmu itu akan memutuskan leherku”. Subhanallah…




Bagaimanapun, segala kekhilafah yang berlaku adalah pengajaran dan tarbiyah daripada Allah Taala, Cuma mungkin kita sering lalai untuk memikirkannya, na’udzubillah. Berdoalah agar Allah memberi kita keteguhan dan kekuatan untuk terus mengagungkan kalimah La ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah.



Dengan harapan yang cukup besar, moga Allah memberi manfaat dan kebaikan melalui usaha ini. Moga kewujudan blog ini turut menjadi saksi perjuangan kita dalam membantu agamaNya dan tak mensia-siakan hidayah Allah yang membuka hati kita untuk menjadi pewaris perjuangan para Nabi ini. InsyaAllah.