JOM SOLAT

Friday, September 25, 2009

Muqaddimah

    Pemikiran umat Islam masa kini semakin dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran sekular kesan daripada serangan pemikiran (ghuzwatul fikr) oleh orang-orang kafir antaranya dengan menyediakan pelbagai hiburan untuk melalaikan dan mempengaruhi pemikiran umat Islam.Hal ini sekaligus menyebabkan umat Islam mengetepikan ajaran Islam yang serba lengkap kerana mereka menganggap agama merupakan sesuatu yang tidak penting dan sesuatu yang menyusahkan hinggakan ada yang anti-agama.


    Kita perlu menyedari bahawa sesetengah hiburan bukan sahaja mampu meruntuh harga diri, malah merobek iman . Mungkin bagi kita, hiburan adalah yang terbaik dan mampu menghiburkan kita. Kita terlalu berpaut pada hiburan hinggakan kita tidak menyedari terdapat pelbagai perkara yang lebih menyeronokkan dan beroleh pahala darinya. Firman Allah SWT didalam surah al-Baqarah, ayat 216 bermaksud: “...boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal ia baik bagimu,dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu…”. Hal ini bukan sahaja memberi impak kepada diri sendiri, malah menjadi punca kepada berlakunya gejala-gejala sosial dan keruntuhan akhlak dalam kalangan umat Islam sendiri.



    Kebanyakan umat Islam masakini juga sering melupakan tanggungjawab sebagai umat Islam termasuklah melaksanakan solat fardhu sedangkan melaksanakan solat fardhu adalah kewajipan sebagaimana yang dijelaskan dalam kebanyakan ayat al-Quran dan hadith. Kebanyakan umat Islam lalai dengan kemewahan yang diperoleh sedangkan kesemua rezeki datangnya dari Allah SWT dan sepatutnya ia dibalas dengan rasa kesyukuran dan ketaqwaan kepada Allah, bukannya dengan dengan lalai dari mentaati-Nya dan melakukan kemaksiatan. Firman Allah didalam surah al-Munafiqun,ayat 9 bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, janganlah harta bendamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah, dan barangsiapa berbuat demikian,maka itulah orang-orang yang rugi”.


    Dan sedarlah, bahawa manusia agung baginda Muhammad SAW yang sunnahnya kian dilupakan itulah tempat kita merayu syafaatnya kelak… dengan amal ibadat yang belum mencukupi, layakkah kita untuk beroleh syafaatnya nanti? Marilah kita bermuhasabah diri sejauh mana pengorbanan kita demi menegakkan agama Islam...sedarlah Islam makin terhakis dari hati sebahagian umatnya.Jadi, bersama-samalah kita memperbaiki diri kepada yang lebih baik.Semoga kita mendapat petunjuk dan keredhaan dari-Nya. Wallahua'lam...