JOM SOLAT

Sunday, May 29, 2011

“Dah lama saya tak sholat, dik”

Masjid negara, 2 tahun lalu- Atas beberapa hal penting, lagenda terpaksa ke pusat bandar kuala lumpur. Kehidupan sekolah berasrama sedikit sebanyak menjadi jurang pemisah antara lagenda dengan gaya hidup bersosial kotaraya ni. Lama tak ke bandar, nampaknya bukan sahaja pembangunan yang berkembang pesat, malah pendedahan pusat jugak tak terkecuali.




Perjalanan pagi itu tak banyak menarik perhatian lagenda, sehinggalah satu ketika lagenda terserempak seorang peminta sedekah…berbaju melayu berkain pelikat, bersama cawan plastiknya duduk disisi jalan menanti simpati wargakota. Yang menarik perhatian lagenda?--payungnya biru gelap lengkap berlambang dacing…tergelak sendirian di situ.



Selesai urusan pagi tu, lagenda bergerak pulak ke tempat lain. Berjalan berseorangan nampaknya memberi kebebasan memilih destinasi sendiri. Berjalan kaki ke masjid negara, dan alhamdulillah sempat sampai sebelum azan zuhur berkumandang. Jemaah ketika tu tak mencecah pun lima saf, rindu rasanya nak tengok gerai dan pejabat-pejabat ditutup beberapa minit menghormati waktu solat. Tunggulah…mungkin setahun ke setahun bilangan saf jamaah akan bertambah, insyallah.



Selepas mengaminkan doa dipimpin imam solat itu, jemaah bersalaman sesama mereka dan kemudian bersurailah satu kesatuan muslimin. Memandangkan keselesaan masjid tu yang jelasnya lebih sejuk dari cuaca luar, lagenda ambil satu ‘port’ untuk duduk mengadap al-Quran. Lagenda pandang sekeliling, yang tinggal cuma beberapa kelompok hamba Allah yang jugak baru selesai solat. Dan jauh beberapa saf dibelakang lagenda sorang lelaki berkemeja biru, dengan muka agak serius, cuma memerhatikan orang yang tengah bersolat.





DISAPA DIA





Mengabaikan lelaki tu, lagenda bukak quran dan baca sendirian. Beberapa minit berlalu…belum sempat lagenda habiskan bacaan mukasurat kedua, terasa bahu lagenda dipegang. Lelaki bermuka serius tadi disebelah kiri lagenda. “Assalamualaikum, dik”, sapa lelaki tu.



“Waalaikumsalam warahmatullah”.



Muka iras keturunan Jawa, umurnya mungkin dalam 20-an. “Adik, ajarkan saya bersholat”, jelas bahasanya baku, loghat Indonesia, serius bunyinya. Lagenda tutup quran yang lagenda baca sebelumnya, belum sempat lagenda bersuara, lelaki tu menyambung lagi. “Dah lama saya tak sholat, dik tolonglah ajarkan saya sholat”.



“Boleh, insyallah. Kebetulan saya tengah free, jadi apa yang saya boleh tolong abang?”, bersuara jugak lagenda.



“Saya mau bersholat, tapi saya lupa sudah. Saya ni dari Indoneshia, di KL ni kerja’an warung makan. Lama sudah saya di KL ni” jelasnya memperkenalkan diri. Lagenda hanya mengangguk.



“Dulu di Sumatera saya mengaji di pondok, waktu umur saya muda macam kamu saya selalu hafal qor’an, di madrasah tu selalu sholat sama-sama. Ramai-ramai dengan teman-teman baca kitab sama ostad (ustaz) kami”, permulaan ceritanya mula tarik perhatian lagenda.



“Tapi tu dulu dik, selepas tu saya datang ke malaysia sini, mau cari makan. Sini saya kenal sama teman-teman orang malaysia, kerjaan sama di warung makan. Rumah pun sama-sama kami kongsi”



“Rumahnya di mana tu?”, lagenda mencelah.



“Di sana tu, titiwangsa. Dekat juga dari sini dik. Tapi dik masaalahnya saya nggak boleh sholat”, ceritanya semakin membuatkan lagenda tertanya-tanya. “Kenapa pulak tak buleh solat? Kan banyak sini surau sama masjid”





REALITI KITA





Mukanya yang tadi serius mula berubah, mukanya sedih, matanya mula berair. “Iya, itu betul dik. Tapi dirumah saya nggak boleh sholat. Bila saya ajak teman-teman lain sholat, mereka ketawakan saya, tapi semuanya Islam. Bila saya mau sholat, teman-temanku itu kacau saya mau sembahyang”



“astaghfirullah…ada jugak sampai macam tu skali?”, tanya lagenda, kecewa…sedih. Mana mungkin sorang muslim tak sedih dengar berita macam tu. Bahkan pernah baginda Rasulullah sebutkan dalam haditsnya barangsipa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, dia bukan dari kalangan umatku.



“Awalnya dulu saya sholat menyorok dalam bilik, diam-diam. Lepas tu mereka tau sudah, selalu diketawakan. Malam-malam mereka ‘minum’, sampai pagi”



“Minum? Arak?”



“Iya, apa lagi. Pernah berapa kali saya lihat mereka bawa masuk itu perempuan dalam bilik”, tambahnya lagi. Naudzubillah, berderau darah lagenda, tak sangka terlalu mudah macam tu. “Habis, abang macam mana?”



“ya pernah juga berapa kali minum sekali dalam rumah, teman-teman ajak saya. Waktu itu saya lupa sudah semua yang saya mengaji di madrasah dulu, sholat pun saya tinggal”, makin serius nampaknya.



“Tak apa lah macam tu bang, syukurlah ni Allah bukak lagi hati abang nak solat. Yang lama-lama tu insyallah Allah ampunkan. Jom la kita belajar sikit-sikit apa yang saya tau”, sikit muqaddimah sebelum sesi pembelajaran mula, sambil ajaknya bangun.



“wuduknya?”



“owh ya...betul, wuduk dulu”



Sambil brjalan turun ke tempat wuduk, sempat lagenda borak-borak. Macam biasa, lagenda kurang suka terus ke praktikal tanpa pemahaman dulu. Dapat jugak lagenda terangkan sikit...kenapa mesti solat, dalil wajib solat (an-Nisaa:103), citer isra’ mi’raj



Balik ke dewan solat utama, lagenda cuba sampaikan ilmu yang sikit ni...cukup mahal kalau dibanding dengan ilmu aqli yang lain. Lagenda sendiri pun belum sempurna bab solat ni, tapi itulah jambatan untuk lagenda perbaiki.



Selesai sampaikan cket ilmu-ilmu Allah tu, dah berapa lama pun lagenda tak perasan. Abang tadi beberapa kali sujud syukur...katanya rindu sangat nak solat. Alhamdulillah.



Oleh sebab lagenda kejar masa, tak sempat solat asar disitu. Lagenda tinggalkan dia di dewan solat tu dengan mintak dia sama-sama doakan Allah bukak hati semua muslimin, terbukak hati untuk solat 5 waktu, terbukak hati untuk hijrah...dari jahil kepada arif, dari alim kepada amal--sebab kita takkan mampu ubah diri sendiri tanpa usaha dengan izin Allah, apatah lagi ubah nasib seluruh masyarakat..melainkan izin Allah mengubahnya.



“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al-Qur'an dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
al-Ankabut: 45

Tuesday, May 10, 2011

Kasih Ibu: Sebuah Kisah dari Sichuan


8 Mei 2011- Rata-rata kita mula sambut hari ibu, yang berduit ada yang bawa melancong sebagai bukti kasih sebagai anak, ada yang cuma cukup melafazkan terima kasih, namun ada jugak yang hanya mampu menziarah makam bonda. Lagenda?entah lah…

Tengah-tengah baca buku sambil dengar ucapan-ucapan hari ibu di ikim, tiba-tiba Allah gerakkan hati lagenda mengadap internet…entah apa yang lagenda cari, semuanya masih dalam mood hari ibu, dari fesbuk sampailah ke Utube. Lagenda tertarik satu post dalam group bincangkan persoalan berkaitan Islam. Dengan sertakan satu artikel “Sambut Hari Ibu HARAM!”, dan persoalan-persoalan khilaf hukum sambut hari ibu.

Daripada artikel tu, hari ibu kononnya berasal dari ritual penyembahan satu kaum masa dahulu pada Tuhan Ibu…entah apa namanya. Maka dari situ adalah yang mula menjadi mufti, yang terus menerus mengharamkan hari ibu dan ada jugak yang mempertikaikan iman mereka yang menyambutnya.



Majoritinya memilih untuk tak memilih daripada memilih untuk memilih kasih…cuma berada di tengah-tengah menanti jawapan. Lagenda cuba menampilkan pendapat berbeza, sambut hari ibu tak haram kalau hanya sebab asal usulnya.

Kita cuma menggunakan titik hari ibu sebagai point untuk taat perintah2 Allah dalam al-Quran supaya kita berbuat baik pada ibubapa. Ada pulak yang tanya balik “kenapa mesti tunggu hari ibu nak buat baik pada ibu?lepas tu kembali pada kederhakaan?”

Nampaknya dia mula subjektif pada hukum haram tersebut. Lagenda tanya semula “kenapa mesti tunggu raya aidilfitri baru nak bersalaman mintak maaf?lepas tu kembali pada kemungkaran?”

Tak ada reaksi…seolah-olah terdiam.

Sekali lagi lagenda cuba menjawab “kita bukan tunggu hari ibu baru nak buat baik pada ibu-ibu, tapi kita guna sebagai titik tolak untuk menyambut ibu-ibu…sepertimana kita sambut Maulidur Rasul, ada ke kita cuma tunggu RabiulAwal baru nak muliakan Rasulullah?baru nak selawat pada baginda? Tak…cuma kita ambik Maulidur Rasul untuk ramai-ramai sambut keagungan habibullah, mana mungkin kita cuma sambut kelahiran manusia agung dalam satu hari je”

Bukan kerja lagenda nak tentukan hukum-hakam macam ni, cuma bagi pendapat semata-mata. Tidaklah mesti disetujui. Bukan mencari jalan menghalalkan, bukan mencari hujah membenarkan…cuma mengajak untuk berfikir, tak cukup cuma mengharamkan secara terus.




Sebenarnya bukan tu yang nak lagenda bawak…ada benda lain yang nak dikongsi. Dalam mencari-cari kat internet, terjumpa satu kisah…kisah benar antara sorang ibu membuktikan kasih pada anaknya. Ni yang dapat lagenda copy…

Kisah Pengorbanan Ibu pada Anaknya . Ini adalah kisah pahit yang muncul sewaktu tragedi gempa bumi Sichuan. Di WenChuan, ketika rumah roboh pada seorang ibu dan bayinya yang berumur 3-4 bulan, bayi dilindungi ibu dengan tubuh miliknya berlutut sujud di atas bayi. Ketika penyelamat tiba 5 hari kemudian, pada 12 Mei, mereka menemukan sang ibu telah hancur mati, tetapi bahwa bayi itu tidur nyenyak – hidup. Tak lama kemudian mereka menemukan ponsel sang ibu, tempat ia menulis pesan teks untuk bayinya yang berbunyi…

“Bayiku sayang, jika kamu dapat bertahan hidup…ingatlah selalu bahwa aku

mencintaimu…”



Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri"
al-Ahqaf: 15

Friday, May 6, 2011

Surat Untuk Perdana Menteri


Surat Seorang Remaja Kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib
__________________________________________________________

Assalamualaikum Dato’ Seri.




Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.




Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata).



Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering ‘singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.




Tidaklah pula saya katakan yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari hanyalah makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.




Izinkan saya Dato’ Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!



Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.



DASAR



Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?



Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?


Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.



Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.



Saban hari saya dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara, sama ada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!




Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?




PELAN TRANSFORMASI EKONOMI




Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.



Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.


Maka menjelang 2014 negara kita akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.


Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.


Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan ketika Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?



Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.



Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para cerdik pandai generasi akan datang dengan lambakan hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, iaitu hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?




IFF dan AURAT



Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar bertitah demikian kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.



Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat Dato’ Seri dan isteri melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam) yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?



Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?


JUDI



Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?



Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?



Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka dengan wang hasil judi yang mereka perolehi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?



Apakah keputusan-keputusan ini ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?




KEMISKINAN dan HARGA NAIK


Dato’ Seri orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga kaya raya.



Maka tidak kiralah jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau RM 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.



Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya adalah pengurusan yang menghancur!



Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu).


Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah hutang yuran persekolahan pun masih belum dilunas. Bukan sedikit keringat yang dicurah demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.


Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.


Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini sekadar untuk meraih undi. Waktu menang nanti kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami bermatian berusaha keras sendiri.


SUARA RAKYAT




Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.


Dan menteri-menteri Dato’ Seri tanpa rasa bersalah menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu bisa memahami pedihnya hati ini.


Semuanya adalah kerana kami rakyat yang mahu berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.


Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?


Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat. Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media di bawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara adalah bercanggah pada sisi agama.



Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi penyebab anak-anak muda ditangkap khalwat?


Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?


REFORMASI



Saya dan juga rakan-rakan adalah remaja muda yang punya sikap, punya pendirian. Kami berazam untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad bahawa seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.


Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.


Jika sampai masanya untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.



Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan beroleh tempat tertinggi di negara ini.


Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?


Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada lenggok bahasanya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.



Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!


Sekian, terima kasih.


_________________________________________________________________________

Alhamdulillah, masih ada darah muda yang berani bersuara demi Islam. Walaupun lagenda cuma copy, tapi surat tu menjadi sebahagian suara lagenda.

Teringat lagenda kisah asy-Syahid Imam Hasan al-Banna ketika beliau masih kecik, beliau banyak utus surat pada pemimpin-pemimpin menyuarakan panggilan perjuangan pada Islam. Adakah sebab kepentingan politik?tak sama sekali, tidak! Namun, atas dasar memartabatkan agama dibawa baginda Rasulullah, dipasak aqidah mengesakan Allah, dijulang kalimah tauhid La ilaha illaAllah...ini perjuangan beliau, dan perjuangan itu kini milik kita. . .

Monday, May 2, 2011

Tarbiyah Musibah

1 Mei 2011- Genap seminggu selepas seorang rakan lagenda dimasukkan ke hospital kerana dilanggar kereta semasa menunggang motosikal. Ditakdirkan Allah ketika tu, lagenda ada berdekatan yang kebetulan sahabat tu dalam perjalanan untuk menumpangkan lagenda. Maka segala yang berlaku, saat dia dirempuh kereta, saat dia tercampak bersama motornya, saat dia jatuh rebah ke tanah…semuanya Allah memperlihatkan pada lagenda. Sejujurnya berat untuk lagenda menyaksikan sendiri rakan dilanggar depan mata, namun percayalah tak ada siapapun yang mampu menggerakkan kereta tu melanggarnya melainkan Allah, Maha Berkuasa hatta satu partikel molekul pun tak berdaya bergerak tanpa izin Allah.




Berita kemalangan tu mula menjadi asbab menggerakkan hati sahabat-sahabat lain menunggu perkembangan berita. Sebahagiannya menghantar ayat-ayat Quran dan hadits sebagai penguat pada lagenda untuk tak mudah menyalahkan Allah. Ada antaranya mengingatkan lagenda ini tak lain hanya satu tarbiyah dari Tuhan, pada hambaNya. Mungkin dalam kelalaian masa sebelumnya melalaikan lagenda dari mengingat Allah. Memang sejak dulu lagi dah diceritakan Allah didalam al-Quran sifat manusia apabila berada dalam kesengangan kita melupakan Tuhan, tetapi apabila tiba musibah dan kesusahan manusia mula tercari-cari Tuhan malah ada yang lantas membangkang takdir Allah. Naudzubillah…



Berkata Abu Tholib al-Makki didalam kitab Qut al-Qulub; “Apabila kamu mengenal sifat-sifat diri kamu dalam bermu’amalah dengan makhluk. Misalnya, jika kamu tidak suka perbuatanmu dibangkang atau dicaci, maka ketahuilah sifat-sifat Penciptamu bahawa Dia juga sedemikian, tidak suka perbuatanNya dibangkang. Maka, hendaklah kamu redha dengan ketentuanNya dan bermuamalah denganNya sebagaimana mualamah yang kamu sukai terhadap dirimu” (Petikan kitab Siapa mengenali dirinya, Maka dia mengenali Tuhannya, m/s 5, karangan Imam Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, terjemahan Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki)



Dalam tempoh itu, lagenda diperingatkan seorang ustaz mungkin itu cara Allah menguji hambaNya terhadap pergantungan kita pada Allah. Apakah kita sabar, redha dan akui ia adalah kerja Allah…ataukah kita mula bersangka buruk terhadap Allah. Ada masanya lagenda rasakan jauhnya diri dari Allah sedang Dia pulak sentiasa dekat dengan kita.




Inilah dunia, sentiasa berputar..adakalanya kita diatas, adakalanya kita dibawah. Maka sekali lagi Allah tetapkan sorang lagi hambaNya yang lalai ni ditimpa musibah. Petang tu lagenda mula bersiap untuk bergerak ke satu majlis ilmu di gombak, hajatnya dengan menumpang seorang ustaz yang juga ke sana. Oleh sebab kepenatan program di sebelah pagi dan kelewatan kerana hujan, lagenda terpaksa menaiki komuter dan LRT sebelum dijemput ustaz. Tapi, sebelum tu lagenda terpaksa menunggang motor ke stesen dalam keadaan hujan…cuma tu pilihan yang ada dalam masa yang singkat.



Secara terpaksa, kali ni lagenda bawa motor lebih laju dari yang kebiasaan, atas alasan mengejar masa…biasalah manusia penuh dengan alasan. Memandangkan kelajuan extra, ditambah pulak dengan permukaan jalan yang licin…maka brek motor tak berfungsi macam yang diharapkan. Ditakdirkan Allah motor lagenda membuat side slide sebelum jatuh terseret atas jalanraya…memecahkan cermin topi keledar dan mengoyakkan seluar lagenda dibahagian lutut. Ditakdirkan Allah jugak kaki kanan lagenda tersepit dibawah motor lagenda sendiri.



Namun, tak satu pun daripada berbelas-belas kereta di situ yang berhenti untuk bagi pertolongan. Itulah hakikat, satu realiti yang lagenda kena terima dalam masyarakat kita. Memandangkan tak ada siapa yang berminat untuk membantu, mungkin belum menerima hidayah…lagenda terpaksa mengalihkan sendiri motor dari kaki kanan lagenda. Dengan lutut, siku dan tapak tangan yang berdarah, lagenda cuba bangunkan sendiri motor tersebut dan hidupkannya semula. Berdiri atas kaki sendiri, alhamdulillah lagenda tak diizinkan Allah cedera parah…cuma luka-luka luaran ,lebam dan kecederaan bahu.




Secara rasminya, tak kesampaian hajat lagenda ke majlis ilmu…mungkin ada yang nak ditunjukkan Allah. Mungkin juga kerana niat lagenda ke sana bukan 100% ikhlas kerana Allah. Maka itu tarbiyah dan hukuman Allah pada lagenda. Mungkin juga Allah nak tunjukkan maut tu makin hampir, takkan cepat sesaat mahupun lambat sesaat (10:49). Mungkin lagenda sendiri yang banyak lalai dari ingat Allah, mungkin lagenda lebih banyak berbual kosong dari berzikir namaNya, mungkin lagenda lebih banyak makan membiarkan rohani kelaparan, mungkin lagenda lebih banyak berhibur berseronok dari bersedih mengingatkan mati, mungkin lagenda lebih banyak memandang kemaksiatan dari memandang ayat-ayat al-Quran, mungkin lagenda lebih banyak membazir masa dari memanfaatkannya kejalan Allah…maka secara jelasnya, ia bukan kemungkinan. Ia penyakit hati yang menghijabkan lagenda pada Allah. Ampuni kami ya Allah…



“Dan sungguh akan Kami mengujimu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun", Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”

[Surah al-Baqarah,2: 155-157]