JOM SOLAT

Saturday, January 30, 2010

Islam, Allah, Rasul, Quran milik semua!


Negara amnya dan umat Islam khasnya sekali lagi berada dalam keadaan resah dan tidak selesa dengan perkembangan terkini berkait isu kepala babi yang diletakkan di perkarangan 2 buah masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.



Sebelumnya negara kita cemas dengan insiden pembakaran gereja dan surau ekoran polemik penggunaan kalimah Allah menjadi isu panas dalam negara .Pihak celaka tidak bertanggungjawab cuba mengeksploitasi keadaan dengan melancarkan tindakan provokatif yang mencetus ancaman terhadap tahap keselamatan rakyat dan negara .
 
 
Ada juga yang melenting ketika isu ini diuar-uarkan, kerana beberapa orang cendiakawan Muslim menggunakan istilah agama samawi merujuk kepada Kristian dan Yahudi. Di dalam Islam, kita percaya yang agama Kristian dan Yahudi telah diubah oleh pendita-pendita mereka. Sumber asal daripada kitab Taurat, Zabur dan Injil telah diubah dan ditulis kembali. Ini adalah kepercayaan Muslim, dan kita dapat lihat besarnya perbezaan kita dengan mereka di dalam hal ini.


Oleh kerana sumbernya sama, maka banyak istilah yang sama dapat dilihat antara ketiga-tiga agama samawi ini. Contoh yang paling ketara ialah isu kalimah Allah ini. Contoh lain pula, ialah nama para nabi dan kisah-kisah mereka. Semuanya mempunyai persamaan. Dalam konteks nama-nama nabi, semuanya berkongsi nama yang sama, kecualilah mereka tidak beriman dengan nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir.




Sama seperti kalimah Allah, nama-nama nabi itu juga adalah milik semua. Bahkan di dalam al-Quran, digalakkan kepada kita untuk menyeru kepada penganut agama lain betapa nabi Muhammad itu juga adalah nabi mereka. Firman Allah di dalam surah al-A’raf ayat 158:


قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ


Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) Yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang menghidupkan dan mematikan. oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”.


Perlu diperhalusi di sini, bahawa sebolehnya Islam menganjurkan penganutnya untuk menyeru kepada semua manusia tanpa mengira agama, bahawa Islam, Allah dan Rasulullah Muhammad SAW adalah milik semua. Ini adalah seruan wajib, bahkan bersifat universal. Cuma, terserahlah kepada yang mendengar seruan tersebut sama ada ingin beriman atau tidak dengannya.


Bagi rakan-rakan penganut agama Kristian, percayalah yang asas agama kami adalah bertoleransi dengan semua agama. Agak malang sebahagian daripada Muslim melakukan beberapa tindakan yang bercanggah dengan agama mereka sendiri. Saya tidak merujuk kepada kejadian membakar 3 gereja kerana ianya masih di dalam siasatan, akan tetapi sekiranya benar ianya dilakukan oleh Muslim, itu adalah tindakan keji dan tiada kaitan langsung dengan agama Islam.



Di saat yang agak tegang ini, mungkin sebahagian kecil rakan-rakan penganut agama Kristian akan berfikir untuk bersetuju dengan label barat terhadap Islam sebagai agama pengganas. Maka akan dicarilah di dalam 6,236 ayat di dalam al-Quran, firman suci yang mengharuskan memerangi non-Muslim secara keseluruhannya. Jangan terpengaruh dengan agenda barat. Kita bangsa timur yang hidup dalam harmoni.


Sekiranya terjumpa ayat mengenai perang dengan non-Muslim, maka kajilah konteksnya. Saya boleh nyatakan ayat-ayat perang itu, majoriti Muslim tidak menghafalnya langsung, bahkan kalau disuruh untuk mencari surah dan ayat berapa, tidak akan dijumpai mereka. Akan tetapi di sana terdapat satu surah yang hampir semua Muslim menghafalnya, iaitulah surah al-Kafirun, surah yang ke 109 di dalam al-Quran. Di dalam surah ini, Allah memberikan penegasan terhadap kebebasan beragama kepada semua. Kalau terjumpa ayat perang, kaji konteksnya dan jangan abaikan surah al-Kafirun. Islam itu datang dalam satu pakej lengkap, bukannya berdasarkan pilihan ayat tertentu sahaja.


Bagi Muslim yang berdemonstrasi menyatakan bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah, saya tiada halangan kerana ini adalah amalan negara demokrasi. Akan tetapi jelas sekali isu ini seolah-oleh telah dipolitikkan. Kenapa ada sebahagian demonstrasi dibenarkan, dan ada pula demonstrasi yang diharamkan?

Kepada mereka yang keluar berdemonstrasi, ana cadangkan minggu hadapan anda berdemonstrasi juga menyatakan bantahan dan kemarahan terhadap beberapa isu yang mengguris umat Islam yang lain. Contohnya, isu lama seperti mufti yang dipecat kerana menangkap perempuan Muslim yang mempamerkan aurat memberahikan di dalam pertandingan ratu cantik, larangan kepada sebahagian jabatan agama untuk melakukan kerja nahi munkar. Selain itu, ada juga parti majoriti non-Muslim yang mengeluarkan poster dan propaganda mengina hukum jenayah Islam seperti sup tangan di negeri yang ingin melaksanakan hukum syariat. Ini adalah jelas menghina Islam. Yang lebih hina lagi, terdapat banyak kenyataan sinikal dan berdosa pemimpin beragama Islam sendiri yang menghina hukum-hakam Islam!
 
There is NO God EXCEPT Allah...
 
Ya Rahman ya Rahiim ya Dzal Jalaali wal Iqram...Allahum mansuril Islama wal Muslimiin. Allahum mansurna alaihi kaafirun, wal munafiqun, wal musyrikun. Taqabbal du'a ana ya Rabbal 'Alamiin.
 
. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .
 
syukran~
Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi
Ustaz Irfan
Panel Muzakarah Pakar, IKIM

No comments: