JOM SOLAT

Sunday, February 14, 2010

Perutusan 2 Tuan Guru Sempena Tahun Baru Cina


Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan menyambut Perayaan Tahun Baru Cina kepada seluruh peringkat masyarakat Tionghua di Malaysia.



PAS percaya bahawa masyarakat Tionghua di Malaysia akan terus menerus mempunyai keazaman dan semangat baru ke arah melaksanakan perubahan bersama dalam negara kita ini. Perubahan ini tidak boleh berlaku tanpa persefahaman dan hubungan baik antara kaum-kaum yang ada dalam masyarakat majmuk di Malaysia.


Kami percaya bahawa masyarakat Tionghua dalam negara kita mampu untuk memainkan peranan yang lebih aktif, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi yang menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara. PAS juga berkeyakinan bahawa asas untuk mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh di Malaysia adalah semestinya berteraskan kepada keadilan sejagat terhadap semua kaum, terutamanya kepada kelompok masyarakat yang tertinggal akibat dari ketidakadilan yang berlaku sepanjang 50 tahun ini. Pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS juga turut menjadi bukti bahawa PAS ingin lebih memahami kehendak dan keperluan pelbagai rumpun masyarakat di Malaysia yang turut sama-sama menyumbang kepada pembentukan negara Malaysia yang lebih sejahtera. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.



Akhir kata, semoga tahun baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang baik, malah lebih baik dari yang terdahulu khasnya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya.


Presiden PAS
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

________________________________________



Saya ingin mengucapkan kepada semua masyarakat berbangsa Tionghua dengan ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang jatuh pada 14 Febuari 2010. Selamat Tahun Baru.



Perayaan Tahun Baru Cina adalah satu perayaan yang penting di kalangan masyarakat Tionghua dan mengikut kalendar Cina tahun ini adalah tahun harimau.


Harimau melambangkan keberanian, diharapkan boleh menjadi satu pendorong untuk masyarakat Tionghua lebih ke hadapan di dalam apa jua bidang.


Sesungguhnya masyarakat Tionghua khususnya di Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi lanskap politik baru di negara kita dengan dokongan kaum-kaum lain termasuklah orang-orang Melayu dan India.

Kita telah bersama-sama memberi sumbangan ke arah lahirnya negara Malaysia yang lebih adil dan aman buat semua.


Islam sebagai agama yang tidak pernah mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa sekalipun. Lantaran itu, Islam memerintahkan agar berlaku adil kepada semua manusia tidak mengira bangsa dan agama.


Semua pihak mendapat hak di sisi Islam. Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain melainkan dengan taqwa.



Lantaran itu, mewakili pimpinan kerajaan Kelantan, saya sentiasa ingin mengingatkan kepada semua pihak bahawa Islam yang menjadi dasar pemerintahan kerajaan tidak akan sama sekali menjadi penyebab berlakunya ketidakadilan dan diskriminasi, bahkan akan sentiasa menjadi penyelesai kepada masalah dengan dasar yang adil dan saksama.

Semoga masyarakat Tionghua di Malaysia dan di Kelantan khususnya terus memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk mentadbir negeri dengan sebaik-baiknya.


Akhir kata, Gong Xi Fa Cai kepada semua.


Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan/Mursyidul Am PAS

No comments: