JOM SOLAT

Saturday, January 9, 2010

Bakar Gereja Satu Penyelesaian?

Setelah seminggu di asrama tanpa akhbar, mahupun berita televisyen atau berita portal, rupanya kepulangan saya dari asrama semalam 'disambut' berita buruk. Nampaknya isu penggunaan kalimah Allah terus memainkan peranan dalam memenuhi dada akhbar dan berita. Dan laman maya Internet pula kini dihiasi dengan pelbagai pandangan, rata-rata ada yang membantah, namun tidak kurang juga yang menyokong. Khabarnya, media antarabangsa juga mula berminat mengikuti isu ini. Ringkasnya, isu ini melibakan sensitiviti agama Islam serta Kristian.


Keputusan Mahkamah Tinggi Kula Lumpur pula baru-baru ini menjadi dasar kepada rata-rata perhimpunan di seluruh negara membantah keputusan tersebut. Akibatnya, gereja pula menjadi mangsa kejahilan puak-puak celaka yang kononnya memperjuangkan Islam.




Sejujurnya, hati saya sebak, sedih. Pipi saya mengalirkan air jernih dari mata mengetahui berita ini kerana kejadian ini bukan sahaja menyebabkan penganut agama lain memandang serong agama Allah ini, sekaligus mampu mencetuskan perpecahan agama dan menjejaskan keamanan rakyat. Hakikatnya, bukan itu cara yang diajar ISLAM!  Bukankah junjungan besar Muhammad Rasulullah juga menghalang tentera Islam merosakkan rumah-rumah ibadat walaupun ketika berperang?!  Hal ini benar-benar perlu dipandang serius semua pihak.


Renungkan ayat ini, "katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) pemulihara sekalian manusia" (An-Nas, 114:1)

Bahkan mereka yang beragama Islam wajib menyebut ayat ini, "segala pujian bagi Allah, tuhan seluruh alam", sebanyak 17 kali sehari semalam. Maka kita perlu membulatkan keyakinan di dalam hati bahawa Allah Ta'ala, Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia, dan Dialah Tuhan sekelian umat manusia.


Oleh yang demikian, perkataan Allah Yang Maha Mulia juga milik semua. Bahkan semua manusia perlu sedar bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa. Keputusan mahkamah, jika dilihat pada satu sudut, ia akan mendatangkan komplikasi yang negatif terutamanya apabila ia disalahgunakan.

Namun, Najib Razak sebagai tokoh nombor satu dalam 1Malaysia yang dipimpinnya ternyata gagal menangani isu ini secara berkesan, apatah lagi untuk membawa konsep perpaduan dukungannya itu dalam menyelesaikan masalah ini dengan menggunakan kaedah terbaik.


Sebagai ketua kerajaan, Najib perlu sedar yang beliau sebenarnya memiliki kemampuan yang jauh lebih besar daripada sekadar menggunakan kuasa politik dan jawatan yang ada padanya. Isu ini perlu ditangani secara ilmiah. Sebagai umat Islam, seharusnya bagi kita untuk menerang, bukan menyerang.


Sekiranya isu ini ditangani secara ilmiah melalui dialog atau penerangan yang berkesan, masyarakat bukan Islam akan menerima dengan hati yang terbuka mengenai pendirian dan kefahaman Islam yang tegas tetapi anjal ini.


Saya melahirkan rasa simpati kepada seluruh masyarakat bukan Islam di Malaysia kerana mereka tidak berpeluang untuk mengenali Islam secara lebih jelas daripada pandangan sebenar.


Sekiranya Najib dan barisan pemimpinnya gagal menangani isu ini dengan berkesan, slogan 1Malaysia dukungannya bukan sahaja akan berdepan dengan perpecahan, bahkan kebencian yang tidak sepatutnya berlaku daripada masyarakat bukan Islam terhadap Islam dan umatnya.


Daripada bertempik tidak tentu hala, lebih baik menumpukan tenaga untuk memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam mengenai Allah Yang Maha Esa, yang menghidupkan dan mematikan semua makhluk dan manusia.


Lebih teruk lagi, ada pihak bertempik dan mendabik dada mengatakan Allah Ta'ala Tuhan orang Melayu. Saya berlepas diri daripada kejahilan orang Melayu yang jahil ini.


Semoga Allah Ta'ala memberikan bimbingan dan petunjuk-Nya kepada saya dan kita semua. "Sesungguhnya kata-kata yang paling benar adalah kata-kata Allah Yang Maha Mulia."


Perkataan "Islam" di Malaysia sudah menjadi sinonim dengan Melayu. Jadi isu yang melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam terus dikaitkan dengan persoalan "Melayu lawan bukan Melayu".



Sebagai contoh, sudah menjadi amalan biasa di negara ini untuk pertubuhan dan NGO Islam berjuang untuk hak-hak seperti kuota dalam bidang ekonomi dan pendidikan kepada komuniti Islam seiring dengan pertubuhan dan NGO Cina, India, Orang Asli dan lain-lain yang berjuang untuk kuota masing-masing.


Akibatnya, perkataan Islam disalahtafsir sebagai suatu nama untuk sekumpulan atau serumpun manusia, dan bukan lagi suatu gambaran cara hidup untuk manusia seperti yang dinyatakan dalam al-Quran.


Cuba bayangkan, segolongan manusia percaya bahawa Tuhan itu Allah, iaitu yang menciptakan langit dan bumi serta yang memberikan mereka rezeki. Tetapi mereka mempunyai kepercayaan yang songsang bahawa Allah itu mempunyai anak atau sebagainya di atas dunia ini.


Penggunaan kalimat itu akan akan memberi tamparan kepada penganut agama Islam khasnya kerana kalimat Allah tersebut mempunyai erti yang sangat istimewa serta implikasi tersendiri bagi penganut agama Islam.




Ya Allah, Tuhan Pemilik Sekalian Alam...bantulah kami

No comments: