JOM SOLAT

Saturday, December 19, 2009

Umat diseru bina jati diri unggul



Umat Islam harus membina jati diri yang unggul, memiliki dan mengamalkan sifat mahmudah dan menjauhkan semua sifat mazmumah, titah timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini.



Baginda, yang juga Sultan Kedah bertitah, sewajarnya umat Islam mengambil iktibar daripada sikap toleransi para sahabat Nabi Muhammad selepas Rasulullah wafat.



"Walaupun pada permulaannya setiap puak ingin mempertahankan pendapat dan pandangan masing-masing, namun dengan sikap toleransi dan mengutamakan kepentingan ummah, mereka sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dan masalah dapat diselesaikan di mana semua pihak berpuas hati.


"Hasilnya, Islam terus berkembang dan ikatan ukhuwah antara ummah semakin erat dan kukuh," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2009/1431 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya.


Baginda turut mengingatkan setiap anggota masyarakat supaya sentiasa berasa bertanggungjawab untuk bersama-sama membina kesatuan ummah yang melangkaui kepentingan diri atau kelompok.


"Masyarakat Islam khasnya mesti meletakkan kepentingan syariat mengatasi segala-galanya. Hanya dengan berbuat demikian ummah akan terselamat daripada pelbagai gangguan, tohmahan, pergeseran dan perpecahan.


"Umat Islam sekarang mesti bekerja keras untuk menguasai segala kekuatan, kehebatan dan keunggulan yang pernah dimiliki umat Islam terdahulu," titah baginda.


Majlis itu turut dihadiri bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.



Di KLANG, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri itu agar saling hormat menghormati dan memahami soal beribadah kaum lain bagi mengelakkan wujudnya perasaan tidak puas hati yang hanya akan menimbulkan sengketa.


"Beta tidak mahu mendengar perbalahan dalam soal beribadah kerana jika tidak dibendung ia menimbulkan perpecahan, pergaduhan serta sengketa antara masyarakat Islam dan bukan Islam dan menjejaskan keamanan Selangor," titah baginda ketika merasmikan Masjid India Muslim Tengku Kelana dan Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang bertemakan 'Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah'.



Di KOTA BAHRU, pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra pula bertitah umat Islam perlu mengambil iktibar sejarah daripada kejatuhan kerajaan Uthmaniah di Turki pada 1924 apabila umat Islam tidak bersepakat.


"Kini masyarakat Islam berada di era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh. Keadaan umat Islam berpecah-belah berdasarkan bangsa, aliran pemikiran dan berpuak-puak menjadikan umat Islam sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Balai Islam Lundang.



Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah mengajak rakyat meletakkan keharmonian dan ketakwaan menunjangi aspek pembangunan serta memantapkan ukhuwah dalam semua bidang ilmu pengetahuan sekali gus memastikan kehidupan yang aman damai.


"Saya berharap rakyat akan bersatu bagi mencapai visi agama, bangsa dan negara," katanya pada majlis perhimpunan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS, dekat sini hari ini.


Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata sambutan Maal Hijrah tahun ini dengan tema "Memantapkan Ukhuwah Memperkasa Ummah" boleh menyumbang kepada tunggak kecemerlangan dan kegemilangan ummah apabila dihayati dan dipraktikkan.


"Sejarah membuktikan betapa aspek perpaduan atau ukhuwah ini menjadi indikator ke arah kemajuan dan tamdun manusia," katanya semasa sambutan itu di Masjid ar-Rashidin, malam tadi.


Di SAMARAHAN, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mahu umat Islam menghayati semangat dan falsafah Hijrah Rasulullah yang menuntut umat Islam berubah demi kemajuan individu, masyarakat dan negara berlandaskan pemikiran yang kreatif dan inovatif.


"Semua umat Islam harus memahami dan menghayati sejarah Maal Hijrah supaya dapat meneruskan agenda perubahan yang dibawa Rasulullah ke dalam konteks hari ini termasuk dalam pembangunan negara," katanya pada majlis perhimpunan Maal Hijrah peringkat Sarawak.


Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman meminta seluruh umat Islam menghayati peristiwa hijrah seterusnya merencanakan strategi bijak supaya Islam dapat dimartabatkan di tempat yang selayaknya.


Beliau berkata Islam kini sering disalah anggap sebagai penghalang kepada proses pembangunan, malah dituduh mengkucar-kacirkan kehidupan harian pelbagai pihak.


"Mereka cuba mempertikaikan kredibiliti Islam itu sendiri dengan membawa contoh-contoh untuk menyokong pendapat mereka seperti isu murtad, liberalisasi Islam, sekularisme, penukaran agama, pertikaian fatwa dan sebagainya" katanya pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Johor di Kompleks Islam Johor. BERNAMA


No comments: