JOM SOLAT

Saturday, October 31, 2009

Kepentingan Perjuangan Menegakkan Politik Negara Islam



بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله قائد الدعاة والمجاهدين وعلى آله وصحبه أجمعين



1. Tabiat aqidah ianya menjurus ke arah menjelmakan amal, jihad dan haraki. Aqidah bukannya suatu doktrin kaku yang tidak menghasilkan apa-apa tindakan atau amal. Jelmaan aqidah yang hakiki dapat dilihat pada sirah perjuangan Rasul saw dan partisipasi para sahabat dalam jihad dan haraki.



Manifestasi aqidah mereka adalah cetusan dari tuntutan firman Allah,



إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ هُمْ الصَّادِقُونَ



{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)}


(al-Hujurat : 15)



2. Ayat di atas memperlihatkan kepada kita bahawa keimanan menghasilkan keyakinan kepada Allah dan Rasul serta mencetuskan jihad dan perjuangan dalam kehidupan seseorang yang beriman itu.



3. Ini dapat dilihat melalui penegasan asSyahid Sayyid Qutub yang mengambarkan konsep aqidah yang hidup dan haraki di mana ia mengatakan :



“ Ketika al-Quran itu membina aqidah dalam hati nurani ummah pada waktu yang sama pula ia sama-sama mengharungi perjuangan menentang masyarakat jahiliyyah, berbimbingan tangan dengan ummah Islam; sepertimana ia berbimbingan tangan mengharungi perjuangan hebat mengikis sisa-sisa jahiliyyah dari hati nurani manusia, dari moral dan realiti hidup mereka dan dari percaturan inilah lahirnya pembinaan aqidah itu, bukan dalam bentuk teori dan tidak pula dalam bentuk teologi serta bukan dalam bentuk perdebatan, tetapi dalam bentuk jamaah yang hidup dan penyusunan haraki yang langsung mengenai kehidupan yang terjelma dalam jamaah muslimin itu sendiri …" (1)





Tabiat Perjuangan Islam



4. Aqidah yang hakiki akan menjelmakan amal dan perjuangan. Rasulullah saw dan para sahabat telah mengariskan manhaj dalam menampilkan amal dan perjuangan dalam Islam sepertimana yang di kehendaki oleh Allah.



5. Dan satu tabiat serta sunnah Rasul saw dan para sahabah bahawa jelmaan amal dan perjuangan itu haruslah direalisasikan melalui amal jamaiy dan haraki (berjamaah/berparti dan berorganisasi). Perjuangan secara berjamaah atau berparti ini adalah sunnah rasul dan sunnah para rasul-rasul yang terdahulu yang tercatat dalam al-Quran.



وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ



{Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.}


(Aali - Imran : 146 )



يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُونوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ



{ Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu-pembantu agama Allah, sepertimana yang diucapkan oleh Isa putera Maryam kepad pengikut-pengikutnya yang setia, siapakah pembantu-pembantu ku pada jalan Allah ?. Lalu berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia : Kamilah pembantu agama Allah.. }


(as-Saff 14)



قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنْ اتَّبَعَنِي

{ Katakanlah : inilah jalanku yang lurus, aku bersama pengikut ku menyeru ke jalan Allah dengan keterangan yang nyata…}


(Yusuf 108)



وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُون َ


{ Dan hendaklah ada di kalangan kamu suatu ummah (kumpulan) yang menyeru kepada kebaikan. Dan memerintahkan kepada ma’aruf serta mencegah dari kemungkaran. Dan merka itulah orang-orang yang beruntung}


(ali Imran 104)







Kepentingan Berpolitik Untuk Menegakkan Daulah Islam



إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58) يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا



{Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.}

( anNisa’ : 58)



6. Ayat di atas menunjukkan Allah memerintahkan umat Islam agar menyerahkan amanah mereka kepada orang yang layak. Dan di antara amanah yang paling besar ialah amanah untuk ‘menegakkan agama dan memerintah dunia ini dengan agama itu- إقَامَةُ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنيَا بِه ’.



7. Ini adalah amanah kepimpinan ummah dan negara. Kerana kewujudan kepimpinan ummah dan negara (politik) ialah untuk menegakkan agama dan memerintah dunia (politik) dengan agama itu. Oleh itu menjadi kewajiban apabila memilih pemimpin negara dan politik hendaklah memilih yang layak memikul amanah itu.


Allah telah perjelaskan kepada kita ciri-ciri kepimpinan yang layak. Antaranya ialah :



إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ


{ Sesungguhnya pemimpin kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan mereka tunduk (kepada Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang} .


(al-Maidah 55-56)






8. Kita tidak dapat melantik kepimpinan politik negara setakat ini melainkan melalui proses politik yang ada sekarang ini. Oleh itu menjadi tanggung jawab kita untuk melibatkan diri dengan perjuangan politik untuk menggangkat pemimpin politik dan negara yang layak. Melantik orang yang tidak layak untuk memikul amanah yang besar itu akan membahayakan ummah dan negara.





Sabda Rasulullah saw : Jika amanah disia-siakan, tunggulah saat kehancuran. Ada sahabat bertanya : bagaimana menyia-yiakannya ? Baginda saw menjawab : jika urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya
(al-Bukhari)



9. Begitu juga Allah memerintahkan kita melaksanakan dan menghukum manusia dengan adil. Bagaimana kita hendak menghukum manusia dengan adil kalau kita tidak menguasai pemerintahan negara. Kita perlu kepada pemerintahan untuk mengubah dasar perundangan negara agar dasar itu berada dalam acuan Islam.



10. Bila dasar perundangan telah Islam, barulah mahkamah dapat memutuskan hukum berdasarkan hukum Islam yang adil. Ini juga memperlihatkan kepada kita betapa perlunya kita menegakkan pemerintahan Islam yang mana cara untuk menegakkannya adalah kembali kepada penglibatan dengan kerja-kerja politik.



11. Berkata Imam al-Mawardi : Tidak ada perbedaan pendapat di kalangan para ulama’ bahawa hukum menegakkan khilafah (daulah) adalah fardhu kifayah, seperti jihad dan sebagainya…(2)

Berkata Sheikh Taqiyuddin an Nabhani : Tanpa adanya daulah, kewujudan Islam sebagai aqidah dan sistem kehidupan akan menjadi pudar, yang ada hanya Islam sebagai upacara peribadatan serta sifat akhlakiyyah semata-mata. Kerana itu daulah Islam harus tetap ada dan keberadaannya bukan untuk sementara. (3)



12. Berkata asSyahid Abdul Qadir Audah : Sesungguhnya Islam mewajibkan seluruh manusia mematuhi seluruh hukum yang diturunkan Allah danmewajibkan mereka supaya berhakimkan kepada hukum itu dan menjalankan hukuman dan pemerintahan dengan hukum yang diturunkan Allah sahaja, bukan dengan hukum lain. Pengertian dan kesimpulan dari semuanya ialah bahawa hukum dan pemerintahan itu adalah salah satu dasar dan sumber asli Islam, yang merupakan tiang tempat tegaknya dan doktrin Islam (4)



13. Berkata Dr Yusuf al-Qardhawi : …ijma’ umat yang kukuh, yang diyakini sepanjang sejarah, bahawa Islam adalah aqidah dan syariah, agama dan daulah, ibadah dan qiyyadah, salat dan jihad, bahawa Rasullullah saw adalah pemimpin pertama bagi daulah Islam, dan para penganti baginda selepas itu juga mengikuti jalannya yang telah diterokai…(5)



14. Berkata Dr al-Qardhawi lagi : Sejarah Islam telah mengungkapkan kepada kita bahawa Rasullullah saw telah berusaha sedaya mungkin dengan mengerahkan kekuatan dan pemikiran dengan dukungan wahyu untuk mendirikan daulah Islam bagi dakwah dan penyelamat ummah (6)
 

No comments: