JOM SOLAT

Saturday, June 12, 2010

Palestine Will Be Free...




Usul yang dibentang oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat bagi mengutuk serangan kejam tentera rejim Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dengan ini,

(1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam;



(2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut;


(3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah;


(4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;


(5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);


(6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ);


(7) Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);


(8) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak;


(9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini;


(10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu;


(11) Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan;


(12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghirau dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis;


(13) Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, Filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis;


(14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat;

dan

(15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat bahawa 15 tuntutan Kerajaan Malaysia berhubung isu keganasan Israel ke atas aktivitis yang terlibat dalam konvo Freedom Flotilia di Parlimen sebagai tuntutan yang longgar dan tidak lengkap.

Sehubungan dengan itu, PAS mahu Kerajaan menambah 11 ketetapan berikut agar selari dengan kehendak rakyat:


1. Mengiatkan kempen anti Israel dan boikot barangan yang dikeluarkan oleh syarikat pelobi Israel diseluruh negara dengan mengunakan semua media dan organisasi Kerajaan.


2. Mengharamkan kemasukan semua barang dan produk yang berkaitan dengan Israel atau yang mempromosikan negara berkenaan termasuklah dalam bentuk iklan dan filem yang dikeluarkan dari negara sekutu Israel seperti Amerika.


3. Membatalkan perkhidmatan dan menghalau semua syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Israel seperti APCO Worldwide yang ada dinegara ini.


4. Malaysia juga perlu membatalkan semua lesen NGO dan organisasi yang terlibat dengan aktiviti Freemason dinegara ini.


5. Memutuskan hubungan dagang Malaysia-Israel yang dipersetujui secara sulit oleh kabinet dalam Kertas Kabinet bertarikh 20 Mac 1996. Kewujudan kertas ini turut disahkan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Israel, Micha Harish dalam majalah Israel-Asia Trade bagi keluaran bulan Mac 1996.


6. Malaysia, Turki dan negara Islam lain menubuhkan satu jawatankuasa panel guaman khas secara bersama untuk mendakwa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), bukannya membiarkan Turki bersendirian melakukan pendakwaan ini.


7. Malaysia wajib mengesa mesyuarat tergempar OIC diadakan bagi mengambil ketetapan ke atas isu Palestine-Israel termasuklah bagi menubuhkan pasukan pengaman OIC sendiri bagi melindungi kapal-kapal bantuan yang berlayar ke Palestine dari serangan tentera Israel.


8. Malaysia memimpin OIC bagi mendesak PBB mengenakan sekatan ekonomi ke atas Israel yang diketahui mempunyai program senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dalam bentuk senjata kimi dan Nuklear.


9. Malaysia juga wajib mendesak negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura serta negara Islam seperti Turki dan Mesir untuk memutuskan hubungan ekonomi dengan Israel serta merta.


10. Malaysia juga harus menjadi negara pelobi utama gerakan anti Israel dan melobi negara ASEAN, China, Jepun, India dan negara Timur Tengah dan Afrika untuk menekan Israel.


11. Malaysia juga harus memimpin gerakan untuk melobi sokongan untuk Palestine dan menjadikan negara ini sebagai hub pengumpulan dana bagi tabung bantuan Palestine di rantau ASEAN.


12. Malaysia mengiktiraf Hamas sebagai Kerajaan Palestine yang sah bukannya wakil dari pergerakan Fatah dalam semua persidangan OIC dan program Kerajaan-kerajaan dunia.



PAS mahu Kerajaan menunjukan sikap yang serius terhadap Israel dan tidak sekadar melepaskan batuk ditangga dengan menolak semua tindakan kepada Turki dan negara Islam lain untuk dilaksanakan. Inilah peluang jika Malaysia mahu menunjukan kepada dunia bahawa negara ini bukan duduk dibawah telunjuk Amerika yang menjadi sekutu Israel. Ini juga adalah satu bukti sokongan kuat Malaysia terhadap Palestin.



Friday, May 28, 2010

6 Soalan Imam al-Ghazali

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.

Lalu Imam Al-Ghazali bertanya; yang pertama “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?” Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua (ibu bapa), guru, teman & kerabatnya. Imam Al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah MATI. Itulah yang dijanjikan Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Surah Ali Imran, ayat 185)




Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua: “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?” Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari & bintang. Semua jawapan itu betul, tetapi menurut Imam Al-Ghazali yang paling tepat adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apa pun kenderaan kita, kita tetap tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini & hari-hari mendatang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.



Bagi pertanyaan yang ketiga “Apa yang paling besar di dunia ini?” murid-muridnya menjawab gunung, bumi & matahari. semua jawapan itu benar tetapi menurut Imam Al-Ghazali, adalah NAFSU (Surah Al A’raf ayat 179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.



Pertanyaan keempat adalah, “Apa yang paling berat di dunia ini?” Ada yang menjawab batu, besi & gajah. Semua jawapan itu benar tetapi bagi Imam Al-Ghazali, MEMEGANG AMANAH (Surah Al Ahzab ayat 72).



Soalan kelima beliau “Apa yang paling ringan di dunia ini?”, ada yang menjawab kapas, angin, debu & dedaunan tetapi jawapan Imam Al-Ghazali adalah MENINGGALKAN SOLAT gara-gara pekerjaan, gara-gara meeting, kita tinggalkan solat.



Lantas pertanyaan ke enam adalah “Apakah yang paling tajam di dunia ini?” Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang…sekali lagi, meskipun jawapan itu benar tetapi bagi beliau yang paling tajam adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri...

Sunday, April 25, 2010

Perbualan Antara Rasulullah dan Iblis

Telah diceritakan bahawa Allah s.w.t. telah menyuruh iblis laknatullah datang kepada Nabi Muhammad s.a.w agar menjawab segala pertanyaan yang baginda tanyakan padanya. Pada suatu hari Iblis laknatullah pun datang kepada Baginda s.a.w. dengan menyerupai orang tua yang baik lagi bersih, sedang ditangannya memegang tongkat.
Bertanya Rasulullah s.a.w, "Siapakah kamu ini ?"
Orang tua itu menjawab, "Aku adalah iblis."
"Apa maksud kamu datang berjumpa aku ?"
Orang tua itu menjawab, "Allah menyuruhku datang kepadamu agar kau bertanyakan kepadaku."

Baginda Rasulullah s.a.w lalu bertanya, "Hai iblis, berapa banyakkah musuhmu dari kalangan umat-umatku ?"
Iblis menjawab, "Lima belas."

1. Engkau sendiri hai Muhammad.
2. Imam dan pemimpin yang adil.
3. Orang kaya yang merendah diri.
4. Pedagang yang jujur dan amanah.
5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk.
6. Orang Mukmin yang memberi nasihat.
7. Orang yang Mukmin yang berkasih-sayang.
8. Orang yang tetap dan cepat bertaubat.
9 Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram.
10. Orang Mukmin yang selalu dalam keadaan suci.
11. Orang Mukmin yang banyak bersedekah dan berderma.
12. Orang Mukmin yang baik budi dan akhlaknya.
13. Orang Mukmin yang bermanfaat kepada orang.
14. Orang yang hafal al-Quran serta selalu membacanya.
15. Orang yang berdiri melakukan solat di waktu malam sedang orang-orang lain semuanya tidur.

Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi, "Berapa banyakkah temanmu di kalangan umatku ?"
Jawab iblis laknatullah, "Sepuluh golongan :-

1. Hakim yang tidak adil.
2. Orang kaya yang sombong.
3. Pedagang yang khianat.
4. Orang pemabuk/peminum arak.
5. Orang yang memutuskan tali persaudaraan.
6. Pemilik harta riba'.
7. Pemakan harta anak yatim.
8. Orang yang selalu lengah dalam mengerjakan solat/sering meninggalkan solat.
9. Orang yang enggan memberikan zakat/kedekut.
10. Orang yang selalu berangan-angan dan khayal dengan tidak ada faedah.

Mereka semua itu adalah sahabat-sahabatku yang setia."
Itulah di antara perbualan Nabi dan iblis laknatullah. Sememangnya kita maklum bahawa sesungguhnya Iblis laknatullah itu adalah musuh Allah s.w.t. dan manusia. Dari itu hendaklah kita selalu berhati-hati jangan sampai kita menjadi kawan iblis laknatullah, kerana sesiapa yang menjadi kawan iblis laknatullah bermakna menjadi musuh Allah s.w.t.. Demikianlah sebaliknya, sesiapa yang menjadi musuh iblis laknatullah bererti menjadi kawan kekasih Allah s.w.t..