JOM SOLAT

Friday, April 1, 2011

Peringatan Buat Para Pejuang

Berkata As-syahid Al-Imam Hassan Al-Banna:




1. Sesungguhnya ramai yang mampu berkata-kata dan sedikit dari mereka yang bertahan dalam beramal dan bekerja. Ramai pula dari yang sedikit itu yang mampu bertahan di waktu beramal dan sedikit dari mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan berat. Para Mujahidin itu adalah angkatan terpilih yang sedikit bilangannya tetapi menjadi penolong dan menjadi Ansarullah. Adakalanya mereka tersilap tetapi akhirnya menepati tujuan sekiranya mereka diberi Inayah dan Hidayah oleh Allah.



"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk" (Al-Qashash:56)



"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam" (Al-Ankabut:6)



2. Sesungguhnya ujian-ujian Allah adalah PROSES PENAPISAN, untuk menapis orang yang benar dan yang bohong; orang yang beriman dan Munafik; orang yang sabar dan gopoh.

"..dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir" (Ali-'Imran:141)



"Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk(munafik) dengan yang baik (mu'min). Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih siapa yang dikehendakiNya di antara rasul-rasulNya. Kerana itu berimanlah kepada Allah dan rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka bagimu pahala yang besar" (Ali-'Imran:179)



"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antar kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu" (Muhammad:31)



"Musa berkata kepada kaumnya:'Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakanNya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa" (Al-A'Raaf:128)





3. Sesungguhnya da'wah berdiri di atas keazaman, bukan di atas kemudahan.

"Allah berfirman:'Jangan takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mu'jizat-mu'jizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan)," (Asy-Syu'araa':15)



4. Orang yang beriman apabila diganggu Syaitan, mereka cepat sedar dan kembali kepada Allah.



"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. Dan teman-teman mereka(orang-orang kafir dan fasik) membantu syaitan-syaitan dalam menyesatkan dan mereka tidak henti-hentinya(menyesatkan)" (Al-A'raaf:201-202)

Muqaddimah

Dengan nama Allah, ar-Rahman dan ar-Rahim…


Dengan izinNya blog ini dapat lagenda bukak semula lepas lama ditinggalkan. Selama itu juga lagenda cuba tercari-cari penyelesaian masalah dalam diri sendiri. Sukar untuk lagenda istiqamah, mungkin itu permasalahan besar yang melanda diri. Hakikatnya, itulah sebenar tarbiyah Allah untuk mengajar kita…bahkan baginda Rasulullah sendiri pernah menyebut amalan yang dicintai Allah bukan yang banyak kuantitinya, sebaliknya amalan yang istiqamah.



Alhamdulillah, dengan penjenamaan semula blog ni, dengan izin Allah lagenda akan cuba menulis artikel sendiri tanpa bergantung sepenuhnya pada copy-paste penulisan sumber lain. Blog ni jugak sebagai memberi peluang untuk berkongsi pendapat dan bersuara dengan bebas. Lagenda akui bukan mudah orang lain menerima pendapat kita, bahkan pengalaman lagenda sendiri cukup mengajar perlunya kita berdiri teguh. Teringat lagenda kata-kata seorang guru; berani harimau kerana belang, teguh pokok kerana akar, tegak manusia kerana hujah. Apabila kita menyingkap sejarah, lihatlah betapa teguhnya Abi Dzar al-Ghifary dengan kata-katanya, “Jikalau kamu letakkan pedang yang terhunus dileherku sewaktu aku menyampaikan perintah Allah dan RasulNya, aku akan terus berbicara sekalipun pedangmu itu akan memutuskan leherku”. Subhanallah…




Bagaimanapun, segala kekhilafah yang berlaku adalah pengajaran dan tarbiyah daripada Allah Taala, Cuma mungkin kita sering lalai untuk memikirkannya, na’udzubillah. Berdoalah agar Allah memberi kita keteguhan dan kekuatan untuk terus mengagungkan kalimah La ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah.



Dengan harapan yang cukup besar, moga Allah memberi manfaat dan kebaikan melalui usaha ini. Moga kewujudan blog ini turut menjadi saksi perjuangan kita dalam membantu agamaNya dan tak mensia-siakan hidayah Allah yang membuka hati kita untuk menjadi pewaris perjuangan para Nabi ini. InsyaAllah.

Saturday, June 12, 2010

Palestine Will Be Free...




Usul yang dibentang oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat bagi mengutuk serangan kejam tentera rejim Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dengan ini,

(1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam;



(2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut;


(3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah;


(4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;


(5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);


(6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ);


(7) Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);


(8) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak;


(9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini;


(10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu;


(11) Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan;


(12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghirau dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis;


(13) Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, Filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis;


(14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat;

dan

(15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat bahawa 15 tuntutan Kerajaan Malaysia berhubung isu keganasan Israel ke atas aktivitis yang terlibat dalam konvo Freedom Flotilia di Parlimen sebagai tuntutan yang longgar dan tidak lengkap.

Sehubungan dengan itu, PAS mahu Kerajaan menambah 11 ketetapan berikut agar selari dengan kehendak rakyat:


1. Mengiatkan kempen anti Israel dan boikot barangan yang dikeluarkan oleh syarikat pelobi Israel diseluruh negara dengan mengunakan semua media dan organisasi Kerajaan.


2. Mengharamkan kemasukan semua barang dan produk yang berkaitan dengan Israel atau yang mempromosikan negara berkenaan termasuklah dalam bentuk iklan dan filem yang dikeluarkan dari negara sekutu Israel seperti Amerika.


3. Membatalkan perkhidmatan dan menghalau semua syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Israel seperti APCO Worldwide yang ada dinegara ini.


4. Malaysia juga perlu membatalkan semua lesen NGO dan organisasi yang terlibat dengan aktiviti Freemason dinegara ini.


5. Memutuskan hubungan dagang Malaysia-Israel yang dipersetujui secara sulit oleh kabinet dalam Kertas Kabinet bertarikh 20 Mac 1996. Kewujudan kertas ini turut disahkan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Israel, Micha Harish dalam majalah Israel-Asia Trade bagi keluaran bulan Mac 1996.


6. Malaysia, Turki dan negara Islam lain menubuhkan satu jawatankuasa panel guaman khas secara bersama untuk mendakwa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), bukannya membiarkan Turki bersendirian melakukan pendakwaan ini.


7. Malaysia wajib mengesa mesyuarat tergempar OIC diadakan bagi mengambil ketetapan ke atas isu Palestine-Israel termasuklah bagi menubuhkan pasukan pengaman OIC sendiri bagi melindungi kapal-kapal bantuan yang berlayar ke Palestine dari serangan tentera Israel.


8. Malaysia memimpin OIC bagi mendesak PBB mengenakan sekatan ekonomi ke atas Israel yang diketahui mempunyai program senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dalam bentuk senjata kimi dan Nuklear.


9. Malaysia juga wajib mendesak negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura serta negara Islam seperti Turki dan Mesir untuk memutuskan hubungan ekonomi dengan Israel serta merta.


10. Malaysia juga harus menjadi negara pelobi utama gerakan anti Israel dan melobi negara ASEAN, China, Jepun, India dan negara Timur Tengah dan Afrika untuk menekan Israel.


11. Malaysia juga harus memimpin gerakan untuk melobi sokongan untuk Palestine dan menjadikan negara ini sebagai hub pengumpulan dana bagi tabung bantuan Palestine di rantau ASEAN.


12. Malaysia mengiktiraf Hamas sebagai Kerajaan Palestine yang sah bukannya wakil dari pergerakan Fatah dalam semua persidangan OIC dan program Kerajaan-kerajaan dunia.



PAS mahu Kerajaan menunjukan sikap yang serius terhadap Israel dan tidak sekadar melepaskan batuk ditangga dengan menolak semua tindakan kepada Turki dan negara Islam lain untuk dilaksanakan. Inilah peluang jika Malaysia mahu menunjukan kepada dunia bahawa negara ini bukan duduk dibawah telunjuk Amerika yang menjadi sekutu Israel. Ini juga adalah satu bukti sokongan kuat Malaysia terhadap Palestin.