JOM SOLAT

Friday, February 26, 2010

Keunggulan Cinta Rasulullah SAW


Alangkah bertuahnya umat ini kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang ayah kepada anaknya, seperti sabdanya,



“Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya.” (riwayat al-Darimi).


Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan material yang tidak kekal sifatnya, Rasulullah adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan roh umatnya agar berjaya di sini dan di alam abadi.


Hidup dan matinya sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk anak-anaknya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan.


Allah SWT menjelaskan kecintaan dan keprihatinan Baginda ini melalui firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 128. Malah Rasulullah pernah bersabda:


Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (riwayat Bukhari dan Muslim).


Apa sahaja yang dilakukan dan difikirkan oleh Baginda semata-mata demi umatnya sehingga Baginda tidak reda seorang pun umatnya terjerumus ke neraka.


Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as:


Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (Ibrahim: 36)


Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.


Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.” Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, “Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.


Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. (Sohih Muslim bi Syarh Imam al Nawawi jilid 2 H: 438)


Rasulullah utamakan umatnya

Sifat kasih yang mendalam menyebabkan Baginda sentiasa mengutamakan umatnya, tidak mahu umatnya menanggung kesusahan dan segala beban umatnya rela ditanggung sendiri oleh Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda:


Aku lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum Mukminin yang meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke ataskulah tanggungjawab melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang meninggalkan harta, maka ia adalah bagi warisnya. (riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Nasai dan Ibnu Majah). Bahkan, Allah telah berfirman mengenainya sebagai mana dalam surah al-Ahzab ayat 6.


Ulama menyatakan, Nabi SAW adalah lebih utama daripada diri mereka sendiri kerana diri mereka mengajak mereka kepada kerosakan, sedangkan Baginda SAW mengajak mereka kepada keselamatan dan kesejahteraan.


Nabi SAW juga mengambil berat tentang keadaan umatnya dan sentiasa mendoakan mereka. Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Aisyah berkata:


Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” Rasulullah SAW pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.” Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”


Rasulullah SAW juga menyimpan doa mustajabnya untuk dijadikan sebagai syafaat bagi umatnya pada hari yang paling penting dan sukar iaitu Hari Kiamat. Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda:


Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)


Rasulullah adalah duta Allah SWT bagi menyampaikan mesej kasih sayang, dan Baginda telah pun melaksanakan amanah tersebut dengan sempurna. Kasih sayang itu telah pun diterjemahkan dalam segala perbuatan dan perkataan Baginda.


Rasulullah SAW menghulurkan kasih sayangnya, tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang, hatta benda-benda tidak bernyawa mengecapi nikmat cinta Baginda. Baginda SAW sentiasa menyuruh bersifat belas dan kasih dan membenci kekerasan dan kekasaran.


Diriwayatkan daripada Aisyah ra bahawa orang-orang Yahudi menemui Nabi SAW, lalu mengucapkan: “Kecelakaan ke atas kamu.” Rasululah SAW bersabda: “Dan ke atasmu juga.” Lalu Aisyah mencelah: “Semoga kecelakaan ditimpakan ke atas kalian juga, laknat Allah dan juga kemurkaan-Nya ke atas kalian.” Rasulullah bersabda: “Perlahan-lahanlah, wahai Aisyah! Berlemah-lembutlah kamu dan janganlah kamu berkasar.”Aisyah berkata: “Apakah kamu tidak mendengar apa yang mereka ucapkan?” Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kamu tidak mendengar apa yang aku katakan? Aku telah pun membalas ucapan mereka. Maka doaku itu dimustajabkan dan doa mereka tidak diperkenankan.” Jelas dalam situasi sebegitupun cinta yang mendalam dalam diri Rasulullah menghalangnya daripada berlebihan dalam membalas kejahatan.


Maka tepatlah Allah telah menggelarkan Baginda sebagai rahmat kepada seluruh alam dan sebagai yang amat pengasih kepada umatnya. Allah SWT telah berkenan mengurniakan kepada Baginda dua daripada nama-nama-Nya yang agung iaitu Ra’uf (Orang yang bersifat belas) dan Rahim (Orang Yang Penyayang).


Di dunia, Nabi SAW sentiasa berusaha memberi keringanan kepada umatnya. Maka Baginda SAW bersabda: “Sekiranya tidak berat ke atas umatku, nescaya aku memerintahkan mereka supaya bersugi pada setiap kali hendak melakukan solat.” Manakala di akhirat, Rasulullah SAW bersabda: “Umatku! Umatku! Ketika itu, manusia sibuk mendapatkan pertolongan para Nabi sedangkan mereka pula sibuk memikirkan nasib diri mereka. Tetapi Nabi Muhammad sibuk memikirkan umatnya bukan dirinya.


Justeru, wajiblah bagi kita menyaksikan kemuliaan Baginda dalam setiap nikmat yang diterima oleh seorang Muslim kerana Baginda SAW adalah pembuka jalan-jalan kebaikan untuk kita dan menzahirkan bagi kita jalan-jalan yang mulia.


Rasulullah menghulur cinta bukan untuk dibalas tetapi untuk diteladani. Meneladani cinta Baginda SAW membawa bahagia hingga ke syurga. Orang yang berakal dan mempunyai hati yang sejahtera, menghargai pemberian dan kasih sayang yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin dan membalas kasih sayang dengan kasih sayang serta ketaatan yang tidak berbelah bahagi.


Para sahabat adalah orang yang paling hebat kecintaannya terhadap Baginda SAW, maka mereka adalah orang yang paling sempurna ikutannya terhadap sunah Baginda. Bagi mereka melaksanakan perintah Baginda SAW merupakan suatu kebahagiaan yang tidak mengenal erti jemu, lemah dan malas.


Cinta Rasulullah SAW juga unggul kerana ia merentasi tempat dan zaman hingga meliputi umatnya yang tidak pernah bersua dengannya mahupun keluarganya atau sahabatnya.


Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Baginda bersabda yang maksudnya, “Bertuahlah sesiapa yang melihatku dan beriman padaku.” Mendengar sabdanya ini mungkin kita umatnya yang datang kemudian agak sedih dan terkilan kerana tidak turut terangkum dalam sabdaannya itu. Tetapi alangkahnya terhibur hati kita apabila mendengar Rasulullah menyambung lagi sabdanya dengan bersemangat, “Bertuahlah, dan bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman padaku.”


Begitulah sekelumit paparan keunggulan cinta Rasulullah kepada umatnya yang sebenarnya telah melemahkan segala kalam dan lisan. Insya-Allah, minggu hadapan ruangan ini akan mengimbau bagaimana selayaknya kita membalas cinta Baginda.


Perutusan TG Hadi: Tegak Sunnah Rasulullah Sepanjang Hayat


Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.



Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.


Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?


Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (Surah Saba’: 28)


Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.


Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.


Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.


Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.


Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

.................................................................................

Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Wednesday, February 17, 2010

Cukupkah Maulidur Rasul hanya dengan Perarakan?


Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tidak cukup dengan sambut Maulidur Rasul setahun sekali, berarak dan mengangkat sepanduk serta bersalawat, dalam masa yang sama perintah Allah tidak diamalkan.

 
Beliau berkata, Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW dengan agama Islam dan petunjuk dari Allah supaya memenangkan agama Islam. Katanya perjuangan menegakkan Islam tidak berhenti walaupun Nabi Muhammad telah wafat.


"Tidak cukup dengan sambut Maulidur Rasul setahun sekali, berarak dan mengangkat sepanduk serta bersalawat, dalam masa yang sama perintah Allah tidak diamalkan, dan dunia dalam keadaan huru hara, perompak semakin banyak, maksiat semakin banyak dan berlaku berbagai bencana alam"


"Puncanya tidak lain dan tidak bukan kerana manusia meninggalkan perintah Allah supaya beramal dengan hukumnya dalam semua perkara,"tegasnya ketika berucap dalam ceramah penjelasan isu-isu semasa di sini semalam.

Beliau berkata demikian dalam mengulas kenyataan-kenyataan akhbar arus perdana memutarbelitkan fakta dan menghentam Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan sambutan Maulidur Rasul.


Menurutnya, ‘ajaran salah’, yang mengatakan bahawa tidak ada dosa dan pahala dalam politik dan pemerintahan negara sedang menguasai orang Islam masakini. Justeru, orang-orang Islam menjadi umat yang semakin lemah, diratah oleh oleh ‘musuh-musuh’ diseluruh dunia.


"Kebanyakkan orang Islam (percaya) dosa pahala ini bab sembahyang (dan) bab pergi ke Mekah sahaja, dalam politik, dalam ekonomi dalam memrintah negara tak ada dosa pahala,inilah ajaran salah yang sedang mnguasai orang Islam hari ini, sehingga mereka menjadi umat yang makin hari makin lemah,”jelasnya.


Sunday, February 14, 2010

Berjuanglah di jalan ISLAM yang murni ini


Orang yang memberi sumbangan harta benda pada jalan Allah SWT diberi pahala sampai kepada 700 kali ganda di mana kebiasaannya amal yang baik itu digandakan dengan 10 kali ganda tetapi pengorbanan harta benda kerana meninggikan agama Allah diberi pahala sampai kepada 700 kali ganda.


Allah Taala berfirman dalam al-Quran bermaksud :"Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)


Makna mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam nanti, kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.


Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah SWT, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.


Pernah diriwayatkan ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Konstantinople (Istanbul, Turki) tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai.


Ada antara orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani. Dia terus masuk ke dalam tentera Rom yang ramai secara bersendirian sehingga dia dibunuh oleh tentera Rom, lalu orang ramai mengatakan, kenapa dia sanggup membinasakan dirinya? Tidakkah Allah mengatakan dalam al-Quran:" Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)


Kebetulan di dalam peperangan itu ada seorang sahabat yang bernama Abu Ayub al-Ansari r.a iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah s.a.w berhijrah di mana baginda s.a.w bermalam di rumah sahabat itu sebelum baginda memiliki rumahnya sendiri di kota Madinah. Semasa Abu Ayub meniti usia tua, beliau juga hadir sama dalam peperangan dengan tentera Rom.


 Apabila beliau mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata: "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa. Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah ketika Allah memenangkan agama-Nya dan ramai orang yang menolong agama-Nya maka berkatalah sesetengah kami terhadap sesetengah yang lain.


"Kami berbisik sesama kami dengan tidak diketahui oleh baginda Rasulullah s.a.w bahawasanya harta manusia sudah banyak. Kita ketinggalan dalam masalah harta benda kerana mementingkan jihad, tidak menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik.
"Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam juga sudah ramai maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang seperti biasa. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, kita dapat mengatasinya semula."


"Justeru, Allah SWT menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan:"Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan."


Abu Ayub r.a adalah sereorang sahabat yang berani di mana ketika dalam keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (kota musuh), jangan dibawa pulang mayatnya ke Madinah. Ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh.


Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Konstantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.

Akhirnya Allah SWT memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an.
 
 

Perutusan 2 Tuan Guru Sempena Tahun Baru Cina


Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan menyambut Perayaan Tahun Baru Cina kepada seluruh peringkat masyarakat Tionghua di Malaysia.



PAS percaya bahawa masyarakat Tionghua di Malaysia akan terus menerus mempunyai keazaman dan semangat baru ke arah melaksanakan perubahan bersama dalam negara kita ini. Perubahan ini tidak boleh berlaku tanpa persefahaman dan hubungan baik antara kaum-kaum yang ada dalam masyarakat majmuk di Malaysia.


Kami percaya bahawa masyarakat Tionghua dalam negara kita mampu untuk memainkan peranan yang lebih aktif, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi yang menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara. PAS juga berkeyakinan bahawa asas untuk mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh di Malaysia adalah semestinya berteraskan kepada keadilan sejagat terhadap semua kaum, terutamanya kepada kelompok masyarakat yang tertinggal akibat dari ketidakadilan yang berlaku sepanjang 50 tahun ini. Pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS juga turut menjadi bukti bahawa PAS ingin lebih memahami kehendak dan keperluan pelbagai rumpun masyarakat di Malaysia yang turut sama-sama menyumbang kepada pembentukan negara Malaysia yang lebih sejahtera. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.



Akhir kata, semoga tahun baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang baik, malah lebih baik dari yang terdahulu khasnya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya.


Presiden PAS
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

________________________________________



Saya ingin mengucapkan kepada semua masyarakat berbangsa Tionghua dengan ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang jatuh pada 14 Febuari 2010. Selamat Tahun Baru.



Perayaan Tahun Baru Cina adalah satu perayaan yang penting di kalangan masyarakat Tionghua dan mengikut kalendar Cina tahun ini adalah tahun harimau.


Harimau melambangkan keberanian, diharapkan boleh menjadi satu pendorong untuk masyarakat Tionghua lebih ke hadapan di dalam apa jua bidang.


Sesungguhnya masyarakat Tionghua khususnya di Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi lanskap politik baru di negara kita dengan dokongan kaum-kaum lain termasuklah orang-orang Melayu dan India.

Kita telah bersama-sama memberi sumbangan ke arah lahirnya negara Malaysia yang lebih adil dan aman buat semua.


Islam sebagai agama yang tidak pernah mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa sekalipun. Lantaran itu, Islam memerintahkan agar berlaku adil kepada semua manusia tidak mengira bangsa dan agama.


Semua pihak mendapat hak di sisi Islam. Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain melainkan dengan taqwa.



Lantaran itu, mewakili pimpinan kerajaan Kelantan, saya sentiasa ingin mengingatkan kepada semua pihak bahawa Islam yang menjadi dasar pemerintahan kerajaan tidak akan sama sekali menjadi penyebab berlakunya ketidakadilan dan diskriminasi, bahkan akan sentiasa menjadi penyelesai kepada masalah dengan dasar yang adil dan saksama.

Semoga masyarakat Tionghua di Malaysia dan di Kelantan khususnya terus memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk mentadbir negeri dengan sebaik-baiknya.


Akhir kata, Gong Xi Fa Cai kepada semua.


Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan/Mursyidul Am PAS