JOM SOLAT

Saturday, January 30, 2010

Islam, Allah, Rasul, Quran milik semua!


Negara amnya dan umat Islam khasnya sekali lagi berada dalam keadaan resah dan tidak selesa dengan perkembangan terkini berkait isu kepala babi yang diletakkan di perkarangan 2 buah masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.



Sebelumnya negara kita cemas dengan insiden pembakaran gereja dan surau ekoran polemik penggunaan kalimah Allah menjadi isu panas dalam negara .Pihak celaka tidak bertanggungjawab cuba mengeksploitasi keadaan dengan melancarkan tindakan provokatif yang mencetus ancaman terhadap tahap keselamatan rakyat dan negara .
 
 
Ada juga yang melenting ketika isu ini diuar-uarkan, kerana beberapa orang cendiakawan Muslim menggunakan istilah agama samawi merujuk kepada Kristian dan Yahudi. Di dalam Islam, kita percaya yang agama Kristian dan Yahudi telah diubah oleh pendita-pendita mereka. Sumber asal daripada kitab Taurat, Zabur dan Injil telah diubah dan ditulis kembali. Ini adalah kepercayaan Muslim, dan kita dapat lihat besarnya perbezaan kita dengan mereka di dalam hal ini.


Oleh kerana sumbernya sama, maka banyak istilah yang sama dapat dilihat antara ketiga-tiga agama samawi ini. Contoh yang paling ketara ialah isu kalimah Allah ini. Contoh lain pula, ialah nama para nabi dan kisah-kisah mereka. Semuanya mempunyai persamaan. Dalam konteks nama-nama nabi, semuanya berkongsi nama yang sama, kecualilah mereka tidak beriman dengan nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir.




Sama seperti kalimah Allah, nama-nama nabi itu juga adalah milik semua. Bahkan di dalam al-Quran, digalakkan kepada kita untuk menyeru kepada penganut agama lain betapa nabi Muhammad itu juga adalah nabi mereka. Firman Allah di dalam surah al-A’raf ayat 158:


قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ


Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) Yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang menghidupkan dan mematikan. oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”.


Perlu diperhalusi di sini, bahawa sebolehnya Islam menganjurkan penganutnya untuk menyeru kepada semua manusia tanpa mengira agama, bahawa Islam, Allah dan Rasulullah Muhammad SAW adalah milik semua. Ini adalah seruan wajib, bahkan bersifat universal. Cuma, terserahlah kepada yang mendengar seruan tersebut sama ada ingin beriman atau tidak dengannya.


Bagi rakan-rakan penganut agama Kristian, percayalah yang asas agama kami adalah bertoleransi dengan semua agama. Agak malang sebahagian daripada Muslim melakukan beberapa tindakan yang bercanggah dengan agama mereka sendiri. Saya tidak merujuk kepada kejadian membakar 3 gereja kerana ianya masih di dalam siasatan, akan tetapi sekiranya benar ianya dilakukan oleh Muslim, itu adalah tindakan keji dan tiada kaitan langsung dengan agama Islam.



Di saat yang agak tegang ini, mungkin sebahagian kecil rakan-rakan penganut agama Kristian akan berfikir untuk bersetuju dengan label barat terhadap Islam sebagai agama pengganas. Maka akan dicarilah di dalam 6,236 ayat di dalam al-Quran, firman suci yang mengharuskan memerangi non-Muslim secara keseluruhannya. Jangan terpengaruh dengan agenda barat. Kita bangsa timur yang hidup dalam harmoni.


Sekiranya terjumpa ayat mengenai perang dengan non-Muslim, maka kajilah konteksnya. Saya boleh nyatakan ayat-ayat perang itu, majoriti Muslim tidak menghafalnya langsung, bahkan kalau disuruh untuk mencari surah dan ayat berapa, tidak akan dijumpai mereka. Akan tetapi di sana terdapat satu surah yang hampir semua Muslim menghafalnya, iaitulah surah al-Kafirun, surah yang ke 109 di dalam al-Quran. Di dalam surah ini, Allah memberikan penegasan terhadap kebebasan beragama kepada semua. Kalau terjumpa ayat perang, kaji konteksnya dan jangan abaikan surah al-Kafirun. Islam itu datang dalam satu pakej lengkap, bukannya berdasarkan pilihan ayat tertentu sahaja.


Bagi Muslim yang berdemonstrasi menyatakan bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah, saya tiada halangan kerana ini adalah amalan negara demokrasi. Akan tetapi jelas sekali isu ini seolah-oleh telah dipolitikkan. Kenapa ada sebahagian demonstrasi dibenarkan, dan ada pula demonstrasi yang diharamkan?

Kepada mereka yang keluar berdemonstrasi, ana cadangkan minggu hadapan anda berdemonstrasi juga menyatakan bantahan dan kemarahan terhadap beberapa isu yang mengguris umat Islam yang lain. Contohnya, isu lama seperti mufti yang dipecat kerana menangkap perempuan Muslim yang mempamerkan aurat memberahikan di dalam pertandingan ratu cantik, larangan kepada sebahagian jabatan agama untuk melakukan kerja nahi munkar. Selain itu, ada juga parti majoriti non-Muslim yang mengeluarkan poster dan propaganda mengina hukum jenayah Islam seperti sup tangan di negeri yang ingin melaksanakan hukum syariat. Ini adalah jelas menghina Islam. Yang lebih hina lagi, terdapat banyak kenyataan sinikal dan berdosa pemimpin beragama Islam sendiri yang menghina hukum-hakam Islam!
 
There is NO God EXCEPT Allah...
 
Ya Rahman ya Rahiim ya Dzal Jalaali wal Iqram...Allahum mansuril Islama wal Muslimiin. Allahum mansurna alaihi kaafirun, wal munafiqun, wal musyrikun. Taqabbal du'a ana ya Rabbal 'Alamiin.
 
. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .
 
syukran~
Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi
Ustaz Irfan
Panel Muzakarah Pakar, IKIM

Sunday, January 10, 2010

Bersangka Baik pada Tuhan

Kejadian jahil membakar gereja oleh puak pelampau celaka pada Black Friday 8 Januari lalu menimbulkan seribu satu persoalan di minda kita yang lemah ini. Emosi kita juga terganggu kerana kita sudah tidak dapat membayangkan adakah perkara yang lebih teruk daripada serangan terhadap gereja-gereja akan berlaku di bumi Malaysia yang aman ini.


Sebenarnya saya tidak tahu apa yang hendak dituliskan dalam artikel ini. Secara spontan juga saya mula menulis dengan Bahasa Melayu walaupun kebiasaannya saya lebih suka menulis dalam Bahasa Inggeris. Saya menulis kerana saya merasa sedih kerana sekali lagi nama baik agama Islam yang saya kenali sebagai agama yang selalu mempromosian keamanan dan kedamaian telah dikaitkan dengan perkataan “pengganas”.



Bukan itu sahaja keperitan emosi saya, hati saya turut menangis kerana nama baik negara Malaysia yang terkenal dengan keistimewaan menjaga keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama dicemarkan dengan teruk akibat perbuatan menyerang gereja oleh sekumpulan syaitan yang tidak faham ajaran agama mereka.



Saya teramat keliru mengapa keganasan sebegitu rupa boleh berlaku di negara kita atas satu isu nama Tuhan. Saya tertanya-tanya dan tersipu-sipu mencari jawapan; adakah ajaran agama dimiliki Tuhan, atau Tuhan ini dimiliki ajaran agama? Setahu saya, Tuhan ini maha berkuasa dan memiliki segala benda-Nya di alam semesta ini. Maka sepatutnya agama ini dimiliki Tuhan, dan tugas manusia sebagai penganut ialah untuk menurut segala perintah ajaran agama dan menjaga tingkah laku demi menjaga nama baik agama.



Entah, sejak bila pula agama dan nama Tuhan menjadi permainan milik-memiliki manusia. Ataupun sememangnya dipatutkan sebegitu, segala benda yang diciptakanNya di alam semesta ini perlu direbut manusia? Akan tetapi, manusia nak merebut semua benda ini pasal apa, pasal nak bawa benda yang direbut ini ke neraka? Boleh ke? Sepatutnya manusia ini harus sentiasa beringat bahawa besok kita mungkin akan mati, dan bukannya menganggap kita ini akan hidup selama-lamanya.



Entahlah juga apa perasaan Tuhan sekarang? Bayangkan bagaimana lukanya perasaan seorang guru yang sangat disayangi dan dihormati apabila pengajarannya dihina gara-gara tindakan beberapa muridnya bertindak di luar ajaran yang diajarnya….. Mengapa manusia yang dianugerahkan otak ini sering menyakitkan hati penciptaNya? Mengapa? Mengapa?



Saya mungkin tak akan jumpa jawapan kepada persoalan-persoalan di atas. Walaupun pada malam Black Friday 8hb Januari, saya terasa dunia ini teramat gelap bagaikan tiada penghujungnya, namun Tuhan tetap menerbitkan matahari dari sebelah Timur pada sebelah subuh hari keesokkan. Saya amat bersyukur setiap kali melihat matahari yang terbit kerana saya berpendapat Tuhan masih memberikan hari yang baru untuk kita untuk membetulkan pemikiran dan tingkah laku kita untuk menjadi seorang yang lebih baik daripada semalam. Melihat keindahan matahari yang terbit ini, saya merasakan Tuhan sedang memberikan harapan dan masa untuk menyelamatkan keadaan negara kita.



Mungkin kejadian keganasan ini akan menyedarkan rakyat untuk menghayati betapa tidak ternilai harganya keamanan yang kita nikmati sebelum ini jika dibandingkan dengan ketakutan dan kebimbangan yang kita alami sekarang.



Mungkin juga perkara ini akan menyedarkan ahli-ahli politik dan media arus perdana yang merasakan mereka mempunyai kuasa untuk bermain dengan emosi segelintir rakyat; bahawasanya emosi itu bagaikan api, tiada manusia yang mampu mengawal api apabilanya sudah menjadi liar dan besar.



Mungkin juga perkara ini akan menjadikan titik mula untuk menyedarkan rakyat Sabah dan Sarawak untuk menuntut perubahan bersama rakyat Semenanjung Malaysia demi masa depan negara yang lebih baik. Mungkin juga perkara ini akan menjadikan rakyat lebih matang dalam menghadapi provokasi yang lebih mengancam pada masa depan.



Mungkin juga perkara ini menyebabkan rakyat mula mempersoalkan sampai bila kita harus berlagak bodoh, dianggap bodoh dan diperlakukan sebagai orang bodoh dan dijadikan alat untuk mengekalkan kuasa beberapa orang berkepentingan?



Mungkin juga perkara ini dapat mengingatkan rakyat bahawa rakyat mempunyai kuasanya tersendiri yang amat digeruni parti-parti politik dan rakyat harus bijak menggunakan kuasanya sebaik mungkin dari sekarang untuk menjaga kepentingan negara.



Entahlah, terlalu banyak kemungkinan yang saya fikirkan namun apa jua berlaku, saya kena sangka baik pada Tuhan. Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa Tuhan akan memberikan yang sebaiknya kepada Malaysia.



Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa mereka yang cuba menganiaya orang tidak berdosa dan memecahbelahkan rakyat akan dibalas jahat. Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa rakyat Malaysia akan lebih berpadu dan bersatu selepas keganasan ini demi keamanan dan keselamatan negara.



Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa mereka yang tidak faham agama akan diberi pedoman dan cahaya pengetahuan untuk membuka minda mereka supaya mereka boleh kembali ke jalan yang betul. Saya harus percaya ada tujuannya perkara ini berlaku kerana Tuhan adalah maha adil, maha mengetahui dan maha Esa.



Everything happens for a reason. Segala yang terjadi ada hikmahnya. Kita harus sangka baik pada Tuhan. Bersabarlah wahai rakyat Malaysia yang faham agama. Berdoalah moga Yang Maha Esa memberikan pertolongan dan petunjuk kepada semua...amiin.



P.S: Kepada pembaca Muslimin dan Muslimat sekalian, sekiranya artikel ini sesuai dari segi aqidah untuk digantikan perkataan Tuhan dengan Allah, dipersilakan untuk menukarnya.

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Li Fook Gao

Saturday, January 9, 2010

Bakar Gereja Satu Penyelesaian?

Setelah seminggu di asrama tanpa akhbar, mahupun berita televisyen atau berita portal, rupanya kepulangan saya dari asrama semalam 'disambut' berita buruk. Nampaknya isu penggunaan kalimah Allah terus memainkan peranan dalam memenuhi dada akhbar dan berita. Dan laman maya Internet pula kini dihiasi dengan pelbagai pandangan, rata-rata ada yang membantah, namun tidak kurang juga yang menyokong. Khabarnya, media antarabangsa juga mula berminat mengikuti isu ini. Ringkasnya, isu ini melibakan sensitiviti agama Islam serta Kristian.


Keputusan Mahkamah Tinggi Kula Lumpur pula baru-baru ini menjadi dasar kepada rata-rata perhimpunan di seluruh negara membantah keputusan tersebut. Akibatnya, gereja pula menjadi mangsa kejahilan puak-puak celaka yang kononnya memperjuangkan Islam.




Sejujurnya, hati saya sebak, sedih. Pipi saya mengalirkan air jernih dari mata mengetahui berita ini kerana kejadian ini bukan sahaja menyebabkan penganut agama lain memandang serong agama Allah ini, sekaligus mampu mencetuskan perpecahan agama dan menjejaskan keamanan rakyat. Hakikatnya, bukan itu cara yang diajar ISLAM!  Bukankah junjungan besar Muhammad Rasulullah juga menghalang tentera Islam merosakkan rumah-rumah ibadat walaupun ketika berperang?!  Hal ini benar-benar perlu dipandang serius semua pihak.


Renungkan ayat ini, "katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) pemulihara sekalian manusia" (An-Nas, 114:1)

Bahkan mereka yang beragama Islam wajib menyebut ayat ini, "segala pujian bagi Allah, tuhan seluruh alam", sebanyak 17 kali sehari semalam. Maka kita perlu membulatkan keyakinan di dalam hati bahawa Allah Ta'ala, Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia, dan Dialah Tuhan sekelian umat manusia.


Oleh yang demikian, perkataan Allah Yang Maha Mulia juga milik semua. Bahkan semua manusia perlu sedar bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa. Keputusan mahkamah, jika dilihat pada satu sudut, ia akan mendatangkan komplikasi yang negatif terutamanya apabila ia disalahgunakan.

Namun, Najib Razak sebagai tokoh nombor satu dalam 1Malaysia yang dipimpinnya ternyata gagal menangani isu ini secara berkesan, apatah lagi untuk membawa konsep perpaduan dukungannya itu dalam menyelesaikan masalah ini dengan menggunakan kaedah terbaik.


Sebagai ketua kerajaan, Najib perlu sedar yang beliau sebenarnya memiliki kemampuan yang jauh lebih besar daripada sekadar menggunakan kuasa politik dan jawatan yang ada padanya. Isu ini perlu ditangani secara ilmiah. Sebagai umat Islam, seharusnya bagi kita untuk menerang, bukan menyerang.


Sekiranya isu ini ditangani secara ilmiah melalui dialog atau penerangan yang berkesan, masyarakat bukan Islam akan menerima dengan hati yang terbuka mengenai pendirian dan kefahaman Islam yang tegas tetapi anjal ini.


Saya melahirkan rasa simpati kepada seluruh masyarakat bukan Islam di Malaysia kerana mereka tidak berpeluang untuk mengenali Islam secara lebih jelas daripada pandangan sebenar.


Sekiranya Najib dan barisan pemimpinnya gagal menangani isu ini dengan berkesan, slogan 1Malaysia dukungannya bukan sahaja akan berdepan dengan perpecahan, bahkan kebencian yang tidak sepatutnya berlaku daripada masyarakat bukan Islam terhadap Islam dan umatnya.


Daripada bertempik tidak tentu hala, lebih baik menumpukan tenaga untuk memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam mengenai Allah Yang Maha Esa, yang menghidupkan dan mematikan semua makhluk dan manusia.


Lebih teruk lagi, ada pihak bertempik dan mendabik dada mengatakan Allah Ta'ala Tuhan orang Melayu. Saya berlepas diri daripada kejahilan orang Melayu yang jahil ini.


Semoga Allah Ta'ala memberikan bimbingan dan petunjuk-Nya kepada saya dan kita semua. "Sesungguhnya kata-kata yang paling benar adalah kata-kata Allah Yang Maha Mulia."


Perkataan "Islam" di Malaysia sudah menjadi sinonim dengan Melayu. Jadi isu yang melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam terus dikaitkan dengan persoalan "Melayu lawan bukan Melayu".



Sebagai contoh, sudah menjadi amalan biasa di negara ini untuk pertubuhan dan NGO Islam berjuang untuk hak-hak seperti kuota dalam bidang ekonomi dan pendidikan kepada komuniti Islam seiring dengan pertubuhan dan NGO Cina, India, Orang Asli dan lain-lain yang berjuang untuk kuota masing-masing.


Akibatnya, perkataan Islam disalahtafsir sebagai suatu nama untuk sekumpulan atau serumpun manusia, dan bukan lagi suatu gambaran cara hidup untuk manusia seperti yang dinyatakan dalam al-Quran.


Cuba bayangkan, segolongan manusia percaya bahawa Tuhan itu Allah, iaitu yang menciptakan langit dan bumi serta yang memberikan mereka rezeki. Tetapi mereka mempunyai kepercayaan yang songsang bahawa Allah itu mempunyai anak atau sebagainya di atas dunia ini.


Penggunaan kalimat itu akan akan memberi tamparan kepada penganut agama Islam khasnya kerana kalimat Allah tersebut mempunyai erti yang sangat istimewa serta implikasi tersendiri bagi penganut agama Islam.




Ya Allah, Tuhan Pemilik Sekalian Alam...bantulah kami