JOM SOLAT

Tuesday, November 24, 2009

Tuan Guru Nik Abdul Aziz tersenarai Top 50 Individu Muslim Berpengaruh Dunia

KUALA LUMPUR, 20 Nov: Parti Islam SeMalaysia mendapat penghormatan dunia apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah disenaraikan antara '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'.



Menteri Besar Kelantan itu, disenarai di tempat ke 42 dalam senarai '500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009'. The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku 'The 500 Most Influential Muslims In The World' tahun 2009.



Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.




“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.




(TG Nik Aziz ditangga ke 42 Muslim paling berpengaruh di didunia)



Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syeikh Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.



Nama DS Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam senarai 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia.



Nama DS Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Tun Dr Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.



Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Datuk Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.



Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.



Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.



Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.

Saturday, November 21, 2009

Aku, kau, Idola Kecil dan Hedonisme

Hedonisme menurut pengertian Kamus Dewan Edisi Ketiga, halaman 448, ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup [1]. Dengan kata lain, ia satu doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan wajib bagi seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan.




Budaya hedonisme jauh terpesong daripada cara hidup yang dianjurkan oleh Islam. Seharusnya, masyarakat Islam lebih peka akan bahayanya virus-virus hedonism ini yang secara rakus cuba menghancurkan pemikiran dan akhlak masyarakat Islam itu sendiri. Keruntuhan akhlak yang teruk bukan sahaja merosakkan peradaban umat tetapi lebih kepada kemusnahan integriti Iman dan Islam itu sendiri.




Lambakan rancangan hiburandan realiti TV seperti Akademi Fantasia, Mentor, Gadis Melayu dan Sehati Berdansa mencuri tumpuan hampir sebahagian masyarakat Malaysia. Tanpa kita sedari golongan kanak-kanak juga menjadi mangsa dalam kehanyutan hedonisme ini. Antara rancangan yang menjadi pilihan mereka seperti Tom-Tom Bak, Pondok-Pondok, Bintang Kecil, Idola Kecil dan lain-lain lagi.



Rata-rata kanak-kanak yang terdedah kepada hiburan dan TV mudah untuk bersikap pasif dan suka berkhayal. Mereka menjadikan artis sebagai idola malah sanggup menjadikan imej artis tersebut sebagai identiti. Lihat sahaja pertandingan bintang kecil yang dianjurkan oleh RTM setiap musim. Segenap lapisan umur menjadi peminat setia rancangan tersebut.




Mungkin ada yang bercakap “ Bagusnya, sedap dia menyanyi “, “ Comelnya dia “, dan lain-lain suntikan semangat yang secara tidak langsung mencetus angan-angan pada anak-anak mengenai dunia hiburan ini. Masakan tidak, rancangan tersebut ditayangkan dalam masa santai keluarga. Apakah ini tidak mempengaruhi pemikiran anak-anak?



Sudah sekian lama virus hedonisme ini berevolusi dalam masyarakat sehinggakan barah-barah mulai bernanah dalam jiwa dan permikiran masyarakat Islam-Melayu kita pada hari ini. Satu demi satu, akhlak Islam ternoda dalam karakter masyarakat. Pihak yang berwajib hanya memandang sepi atas alasan hiburan ringan semata-mata dan bukan satu serangan dakyah kuffar menunggang modenisasi demi menghancurkan Islam.




Isu ini bukan untuk mewujudkan sekatan kepada kebebasan individu untuk berhibur tetapi lebih kepada sempadan individu muslim untuk menjaga kemandirian iman dan jiwa daipada liberalisasi pemikiran dan penjiwaan Islam yang semakin hari di asak senjata sekularisme.
 
_____________________________________________
 
Skuad Penyelamat Aqidah

Sunday, November 15, 2009

KITA cakap tak serupa bikin



1. Seseorang masuk kerja 8.35 pagi sedangkan waktu mula kerja ialah 8.30 pagi sudah dikira lewat datang kerja TETAPI sembahyang zohor pukul 2.00 atau 2.30 petang masih dikira awal mengikut tafsiran umum sedangkan waktu zohor adalah sekitar 1-1.30 petang. Bukankah ini salah faham namanya?




2. Kita mengeji dan mengutuk Amerika terutama di saat perang TETAPI ramai antara kita tidak boleh tinggalkan rokok yang dibuat oleh Amerika dan tidak kurang diantara kita peminat dan pembeli setia filem filem Amerika yang kaya dengan propaganda itu terutama filem aksi dan perang. Di satu sudut kita penentang dan di sudut yang lain kita penyokong dan pendokong mereka.




3. Bila ada pelancaran skim amanah saham maka berduyun duyunlah orang pergi untuk melabur TETAPI bila pelancaran untuk Tabung derma(saham akhirat) untuk mengumpul 1 jutapun payah untuk rakyat Malaysia yang berjumlah lebih 22 juta. Malah memakan masa berbulan bulan walaupun telah mendapat publisiti meluas.



4. Kita sangat sensitif dan terharu bila mendengar atau melihat ibubapa yang mendera fizikal anak anak kecil dan membuang bayi merata rata seperti sampah TETAPI kita jarang rasa sedih dan terharu apabila ramai ibubapa yang mendera anak anak secara maknawinya dengan tidak mendidik mereka menjadi anak anak yang soleh. Tidak mengenalkannya dengan kalamullah,tidak mengajar dan bertegas tentang solat,tidak menyuruh menutup aurat dengan sempurna dan sebagainya agar mereka tidak didera oleh malaikat di dalam kubur dan neraka. Bukankah penderaan seperti ini lebih meluas di dunia ini. Bukankah ini juga perbuatan membuang anak iaitu membuang anak ke dalam api neraka. Mana lebih hina membuang anak dalam tong sampah atau membuang anak ke dalam neraka.Anak yang dibuang dalam tong samapah belum tentu akan masuk neraka jika dia hidup tapi anak yang rosak hidupnya kesudahannya akan ke neraka jua.



5. Kita selalunya akan cepat cepat mengucapkan terima kasih pada sesiapa yang membantu kita dan akan mengenang jasanya sampai bila bila TETAPI dengan Tuhan yang telah memberikan kita segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya,setiap detik,setiap saat,kita jarang rasa terhutang budi dan berterima kasih padaNya menurut cara yang dituntutNya.Walaupun Dia tidak berhajat pada rasa terima kasih kita.



6. Kita pasti merasa malu dan terhina apabila ada yang mendedahkan keaiban kita TETAPI tidak pula merasa malu dengan Tuhan yang sudah sedia tahu kesalahan kita lahir dan batin,kecil atau besar. Malah kita boleh bersembunyi melakukan dosa kerana takut diketahui oleh manusia lain sedangkan kita tidak mempunyai tempat untuk bersembunyi dari pengetahuan Allah.



7. Kita selalu merasakan dia salah,dia jahat,dia tak betul,dia menyeleweng dan sebagainya TETAPI kita jarang sekali merasakan bahawa aku jahat,aku berdosa,aku tak betul,aku bersalah kerana mungkin kerana aku dia jadi begitu.



_________________________________________________

ehsan dari: ummu sumaiyah

Friday, November 13, 2009

Pembunuhan pejuang, Marwa asy-Syarbini: Dimana Suara Kita?

Drama mengejutkan pembunuhan wanita seorang wanita pejuang Muslim akibat prejudis kini semakin menarik perhatian dunia terutamanya masyarakat Islam.





Di Mesir hari ini, Marwa al-Sherbini, yang dibunuh kejam di Dresden, Jerman kini dikenali ramai sebagai tokoh yang syahid kerana pemakaian hijabnya.



Wiens, warga Jerman berketurunan Rusia menikam Marwa sekurang-kurangnya 16 kali di sebuah mahkamah di Dresden Julai lalu, ketika wanita itu memberi keterangan terhadap beliau dalam satu kes fitnah.



Wiens memanggil Marwa "teroris" dan "Islamis" - istilah popular yang membawa konotasi negatif walaupun masih didebatkan penggunaannya oleh komuniti akademik - di sebuah taman permainan kanak-kanak hanya kerana wanita Muslim itu memakai tudung!



Marwa ketika itu meminta Wiens memberi ruang untuk anak lelakinya, Mustafa yang berusia tiga tahun untuk bermain di buaian.



Marwa, ahli farmasi berusia 31 tahun sedang hamil tiga bulan ketika dia dibunuh. Anaknya ada bersama di mahkamah tersebut ketika itu, dan suaminya ditikam dan secara tidak sengaja ditembak oleh seorang pengawal Jerman ketika cuba membantu.



Mustafa hanya mampu melihat ibunya ditikam dengan kejam oleh Weins. Suami Marwa, Alwi Akaz, kini tempang akibat kecederaan dialami dalam insiden itu.
 
 




Perincian kejadian itu mengejutkan warga Mesir dan tercetus kemarahan terhadap tindak balas perlahan pihak berkuasa Jerman menghulurkan simpati dan menangani dakwaan Islamofobia.



Hakikat bahawa suami Marwa ditembak kerana disangka penyerang mendedahkan prejudis yang wujud di negara Eropah itu.



Seminggu selepas kejadian, pemimpin Jerman, Canselor Angela Merkel mengucapkan simpati kepada Presiden Mesir, Hosni Mubarak, tetapi Merkel tidak membuat komen secara terbuka.





Pada masa sama, ribuan menghadiri pengkebumian Marwa di kampung halamannya di Iskandariah. Ramai membawa kain rentang dengan slogan menuntut pembalasan.



Ada juga yang berdemonstrasi di luar kedutaan Jerman dan di Masjdi al-Azhar di Kaherah, dengan sebilangan mencela Jerman sebagai 'peradaban zalim' dan menjeritkan tuntutan hak asasi dan keadilan.



Perbicaraan Wiens mendapat liputan luas media Mesir, dan sekumpulan peguam Mesir hadir di Dresden dan dibenarkan mengemukakan hujah perundangan.



Beberapa orang tokoh perundangan Mesir memuji keputusan mahkamah Jerman menjatuhkan hukuman ke atas Wiens, tetapi ramai warga Mesir melahirkan perasaan alangkah baiknya sekiranya Jerman melaksanakan hukuman mati.



Suami Marwa memberikan keterangan yang meruntun jiwa, menceritakan bagaimana anaknya, yang kini tinggal di Mesir bersama keluarganya, merindui ibunya.



Alwi sekeluarga berpindah ke Jerman untuk dia meneruskan kajian doktoral biologi melekul tetapi kini melahirkan kemungkinan akan meninggalkan Dresden.



Tarek Sherbini, abang Marwa, berkata "imej rakyat Jerman sangat buruk" ekoran kejadian serangan itu dan mendakwa kejadian itu menunjukkan kebencian terhadap Muslim.



Hubungan Jerman dengan Mesir dan dunia Islam mampu terjejas akibat kejadian ini, terutama sekiranya reaksi lanjutan tercetus dan membakar sentimen.



Sebagai memperingati wanita digelar "Syahidah jilbab" ini, nama Marwa kini dirancang untuk dijadikan nama jalan di Iskandariah, Mesir. (BBC, Agensi)

...............................................................................

Tragedi pembunuhan Marwa asy-Syarbini ini benar-benar telah menaikkan kemarahan umat Islam. Beliau ditikam berbelas kali, suaminya ditikam dan ditembak dengan alasan 'tidak sengaja', hanya kerana beliau bertudung dan mempertahankan hak sebagai Muslimah untuk berjilbab!

Namun, di Malaysia tiada kedengaran suara-suara yang lantang berani mengutuk tragedi ini...


[ Al-Fatihah untuk syahidah pejuang jilbab Marwa asy-Syarbini. Semoga roh beliau bergembira dengan penduduk2 langit yang menantikan kehadiran para mujahidin sepertinya. Moga keredhaan Allah bersamanya...amiin]



Monday, November 9, 2009

Haron Din yakin wujud pakatan-pakatan sulit jatuhkan tokoh-tokoh agama




Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata perkara ini mesti diberi perhatian serius kerana ia bukan membabitkan peribadi Mufti Perak semata-mata malah beliau ialah jurucakap bagi pihak para mufti di Malaysia.




Menurut Dr Haron, usaha masih diteruskan pihak tertentu untuk mencacat dan mencalarkan personaliti tokoh-tokoh agama bertujuan merosakkan kredibiliti mereka dan menghilangkan kepercayaan rakyat.



"Segala yang disampaikan oleh Mufti Perak adalah pandangan yang dibincangkan para mufti dan tugasnya adalah menyampaikan kepada umum termasuk kepada kerajaan Malaysia," katanya ketika ditemui di kediamannya, dekat sini, semalam.




"Isu pengharaman konsert 'Sure Heboh', kongsi raya, kalungan bunga pada tugu dan murtad yang disuarakan oleh beliau (Mufti Perak) sebelum ini mengundang rasa tidak senang banyak pihak dan termasuk juga dengan pemimpin kerajaan BN khususnya Perdana menteri dan kabinetnya yang beragama Islam," katanya lagi.




Sikap Perdana Menteri dan beberapa pemimpin yang pernah memperlekehkan pandangan para Mufti mengakibatkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tidak menghormati beliau selaku tokoh agama yang berwibawa, malah secara lebih biadap cuba mencampuri urusan agama Islam.



"Pandangan saya, itu merupakan ijtihad beliau dalam situasi tersebut dan beliau telah melakukan sedaya yang termampu bagi memastikan kejadian itu tidak berlaku," katanya ketika ditanya berhubung isu sms mengaitkan Dato' Azhar Mansur yang didakwa murtad.



Katanya, jika kejadian itu benar-benar berlaku, masyarakat Islam akan menuding jari kepada institusi mufti kerana tidak bertindak membendung gejala murtad setelah mengetahui dan menerima laporan daripada pihak pengadu.



Beliau menambah, usaha parti Gerakan dan pihak-pihak lain untuk mencampuri urusan hal-ehwal agama yang tertakluk dalam bidang kuasa Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong akan mengundang padah pada masa hadapan.




"Senario ini adalah permulaan yang tidak baik bagi menjaga keharmonian antara kaum; terutama dari segi menjaga sensitiviti berkaitan agama masing-masing," katanya.



Beliau juga beranggapan, kelemahan kerajaan yang ada sekarang mengakibatkan insiden-insiden provokasi dan mencabar umat Islam di negara ini semakin menjadi-jadi dan memberi peluang yang sangat luas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mempersoalkan hal ehwal agama, amalan dan institusi agama seperti mufti.



"Sepatutnya kerajaan segera bertindak dan tegas, bukannya melayan dan memberi ruang terbuka kepada bukan Islam untuk mempersoalkan amalan agama orang lain," katanya lagi




Dalam pada itu ada beberapa penganalisi yang berpendapat, sikap kerajaan yang membisu berhubung isu ini adalah disebabkan pilihan raya yang dikhuatiri akan mengundang rasa tidak senang pengundi Cina.

 
Sumber: Harakah daily

Thursday, November 5, 2009

Tangani masalah: Kembalilah kepada Allah

Sejak Pilihanraya Umum ke-12 tahun lalu, politik Malaysia terus menerus dihangatkan dengan pelbagai isu yang melanda pelbagai peringkat. Dan akhir-akhir ini, Selangor terus dihimpit pelbagai isu dan kontroversi yang mencetus keresahan dalam kalangan rakyatnya.



'Red Alert' yang diberikan oleh PM, DS Najib Razak yang ingin merampas semula negeri Selangor dari pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat dilihat sebagai satu amaran bahaya pada semua pihak, dan hal ini sekali-kali tidak boleh dipandang remeh saja.


Mana tidaknya, pelbagai isu yang melanda Selangor - isu babi, penjualan arak, Selcat, kuil Hindu, perarakan kepala lembu, SPRM, pembunuhan Teoh Beng Hock, Exco YB Elizabeth Wong, wakil rakyat keluar parti dan yang terbaru penangkapan bekas mufti, Dr Mohd Asri dilihat sebagai cubaan memberi tekanan dan memburukkan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat.


Jika dilihat sebelum itu, kerajaan sah negeri Perak Darul Ridzuan telah digulingkan secara tidak adil. Sebelum itu lagi, kerajaan negeri Kelantan di bawah Kepimpinan YAB Tuan Guru Datuk Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat telah di dera dan dibuli. Seluruh penumpuan dan tekanan di jurus kepada kerajaan Kelantan yang bersendirian berdepan karenah kerajaan persekutuan.




Namun apa yang menarik ialah cara Kelantan menangani tekanan dan melayan gangguan musuh tidak sahaja bergantung kepada kelicikan politik dan kemahiran berunding, tetapi sangat bergantung kepada Allah Azza wa Jalla melalui siri solat hajat dan munajat yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan.


Solat hajat dan munajat ini sangat tinggi nilainya dalam kesannya kepada kerajaan dan rakyat negeri Kelantan . Paling minima kesan segera yang boleh dirasai melalui kaedah ini (solat dan munajat) ialah ketenangan kerajaan dan rakyat dalam menangani sebarang kemelut yang berlaku .


Ketenangan itu pula menghasilkan aqal yang berfikiran kritis . Ianya adalah antara nusrah (pertolongan Allah) yang dianugerahkan oleh Allah SWT buat hamba-Nya yang sentiasa mengharapkan pertolongan dariNya. Apa jua yang berlaku di Selangor mutakhir ini perlu kepada pemimpin serta rakyat Selangor unutk kembali kepada Allah SWT agar sujud dan berharap kepada Allah moga diberi petunjuk dan pertolongan dari Allah.


Bukan sahaja di Selangor tetapi sangat wajar bagi semua pemimpin dan rakyat di seluruh negara menganjurkan himpunan solat dan munajat memohon pertolongan dari Allah SWT agar kerajaan rakyat ini dapat dipertahankan sekaligus melumpuhkan segala perancangan musuh untuk menggagalkan hasrat kita menegakkan syari'at Islam, keadilan, kebenaran dan sekaligus melahirkan sebuah kerajaan yang telus dan amanah.



Sunday, November 1, 2009

Rentetan Isu Sebatan Syariah




Persatuan Peguam Syarie Malaysia, PGSM dengan ini menyatakan pendirian dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut:



PGSM kesal dengan apa yang berlaku kerana akhir-akhir ini menampakkan unsur campur tangan pihak kerajaan dalam proses kehakiman di negara ini terutama kehakiman syariah semakin menjadi-jadi.



Bermula dengan unsur campur tangan kabinet dalam menentukan agama anak pasangan yang memeluk Islam dan terbaru dalam isu sebatan Kartika Sari Dewi diatas kesalahan meminum arak.



Campur tangan kerajaan dalam sistem pentadbiran kehakiman syariah perlu ditamatkan segera. Persoalan timbul, mengapa menteri-menteri kerajaan terlalu gemar memberikan komen terhadap kes-kes di Mahkamah Syariah sedangkan terdapat kes-kes di Mahkamah Sivil yang lagi teruk dan dangkal.



Sebelum ini terdapat kes di Mahkamah Sivil ada seorang hakim yang memutuskan bahawa dia sendiri yang akan menghukum pesalah, tetapi kes tersebut tidak pula dipolemikkan, dan tidak ada pula menteri yang memberikan komen.



Pihak kerajaan termasuk menteri-menteri wanita Islam tidak sepatutnya memberikan komen terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Syariah kononnya hukuman syariah telah melanggar hak asasi manusia serta zalim!







Ia suatu tindakan biadap mencabar, mempertikaikan dan menghina keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah. Sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan Mahkamah hendaklah dibuat melalui tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.



Penghakiman yang dibuat oleh Hakim Abdul Rahman Yunus adalah atas dasar menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang sedia ada, dan atas dasar melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan oleh kerajaan.



Menurut peruntukan Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, mahkamah mempunyai bidang kuasa menjatuhkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan, iaitu dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun dan disebat tidak melebihi 6 sebatan.




Kerajaan sepatutnya memberi perhatian dan menumpukan usaha ke arah memperbaiki infrastruktur, pentadbiran dan proses pelaksanaan Penghakiman Mahkamah Syariah, seperti ketiadaan tukang sebat Syariah, ketiadaan penjara khusus untuk menempatkan pesalah Syariah, ketiadaan panel rayuan di beberapa buah negeri dan sebagainya.



Telah 52 tahun negara merdeka dan telah 52 tahun Perlembagaan Persekutuan wujud, namun perkara-perkara ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan.



Mahkamah Syariah dianaktirikan sedangkan Mahkamah Syariah adalah tempat di mana orang Islam yang sebahagiannya mengundi kerajaan semasa pilihanraya, berurusan dan mengadu masalah rumahtangga, harta dan lain-lain.



Masalah ketiadaan tukang sebat bukanlah suatu isu yang besar kerana kerajaan boleh melatih tukang sebat sivil untuk melaksanakan sebat menurut syariah.




Kartika Sari adalah sebahagian masyarakat Islam yang menjadi mangsa akibat sikap anak tiri dan sikap kerajaan yang tidak sensitif dan tidak boleh dijangka terhadap kehendak dan keperluan masyarakat Islam di negara ini.



Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik dan segera, dengan memberi penjelasan kepada masyakarat bahawa:



Hukuman yang dijatuhkan ini adalah masih rendah berbanding hukuman sebenarnya menurut Hukum Syarak yang mana pesalah boleh dijatuhkan hukuman sehingga 40 sebatan hingga 80 sebatan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat.



Dalam Islam tidak ada beza antara pesalah lelaki dan wanita. Hak dan tanggungan mereka apabila melakukan kesalahan Syarak adalah sama di sisi Hukum Syarak dan di sisi Tuhan.



Golongan aktivitis wanita lantang memperjuangkan hak dan keistimewaan wanita dan kesamarataan taraf antara lelaki dan wanita. Mengapa dalam isu ini hendak dibezakan pula taraf antara lelaki dan wanita dari segi pelaksanaan hukuman jenayah?




Pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Syariah amat berbeza dengan pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Sivil.



Enam kali sebatan menurut syariah tidak sama dengan hatta satu sebatan menurut undang-undang sivil. Alat sebatan yang digunakan untuk kes syariah hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.



Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas dua bulan dia melahirkan anaknya. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh pegawai kesihatan kerajaan. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran pegawai perubatan kerajaan.



Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Pesalah lelaki disebat berdiri, manakala perempuan dalam keadaan duduk. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.




Pegawai perubatan kerajaan akan memperakukan sama ada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.


.................................................................................
Artikel ini diterbitkan daripada kenyataan media Musa Awang, timbalan presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).




al_munadhil: 52 tahun kita merdeka, baru tersedar tiada tukang sebat syariah~

10 Pintu Perangkap Syaitan

Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu:


1. Melalui sifat bohong dan angkuh


Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.


2. Melalui sifat bakhil dan kedekut

Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.


3. Melalui sifat takbur dan bongkak


Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.'' (An-Nahl:23)


4. Sifat khianat


Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.


5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat

Junjungan RasuluLlah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.




6. Melalui sifat hasad


Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering " (Riwayat Bukhari dan Muslim).


7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain

Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim).


8. Melalui sifat ujub atau bangga diri


Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)


9. Melalui sifat suka berangan-angan


Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.


10. Melalui sifat buruk sangka


Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.'' (Riwayat Muslim)